Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya merupakan pengguna dan "good paymaster" Kad Kredit (Islamik) dan SPayLater yang disahkan patuh Syariah oleh firma penasihat Syariah seperti Amanie Advisors dan mendapat kelulusan dari Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Baru-baru ini saya telah menerima tawaran dan telah medaftar untuk Grab Pay Later. Namun setelah memeriksa dan mengkaji, saya dapati bahawa Grab paylater masih belum memgang status "Shariah Compliant". Apakah hukum / Bolehkah saya, hanya menggunakan servis Grab paylater, yang saya yakin/percaya patuh syariah seperti servis-servis yang dikenakan 0% interest and zero hidden charges dan membayar semuanya mengikut masa-masa yang ditetapkan, tanpa dikenakan apa-apa cas tambahan seperti mana/seperti juga saya pergi/makan di gerai (tepi jalan) /kedai yang belum disahkan Halal oleh JAKIM, namun saya percaya dan yakin halal mungkin kerana "MUSLIM OWNER/OWNED", staf Muslim/ kelihatan bersih/ saya sendiri sudah bertanya kepada kedai tersebut.
Saya hendak menggunakan kemudahan / servis ini kerana mereka menyediakan kemudahan-kemudahan seperti cashback / voucher dan lain-lain yang memberikan lebih penjimatan berbanding pembayaran secara tunai.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, pada asasnya menggunakan perkhidmatan Grab paylater yang diyakini patuh Syariah iaitu servis yang tidak dikenakan 0% interest, tiada caj tersembunyi dan tindakan puan membayar mengikut masa yang ditetapkan adalah harus selagi mana tiada transaksi yang melibatkan unsur riba, gharar dan sebagainya yang dilarang syarak. Namun begitu, perkhidmatan ini masih belum mendapat pengesahan perkhidmatan yang patuh Syariah dari pihak berautoriti. Sebagai seorang Muslim, adalah sebaiknya puan mengambil langkah berhati-hati supaya tidak terlibat dengan perkara yang boleh membawa kepada syubhah.
Utamakan perkhidmatan yang telah disahkan patuh Syariah atau membayar secara tunai walaupun tidak dapat menggunakan kemudahan yang disediakan yang memberi lebih penjimatan. Analogi berkenaan kedai yang belum disahkan halal, sedikit berbeza dengan isu muamalat. Hal ini kerana transaksi muamalat khususnya berkaitan hutang atau jual beli boleh berisiko terdedah kepada unsur riba. Jadi, adalah sebaiknya menggunakan perkhidmatan kewangan yang telah disahkan patuh Syariah oleh pihak berautoriti.
Sekian. Terima kasih.