Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ingin bertanya. Adakah sah wuduk saya apabila saya tidak melafazkan niat dalam hati. Pada masa dahulu, saya hanya membasuh muka tetapi telah menetapkan bahawa basuhan muka itu adalah wuduk bukan basuhan biasa. Adakah telah hadir niat sebenarnya yang menjadi rukun wuduk. Adakah sah wuduk tersebut. Jikalau tidak sah adakah saya perlu mengulangi solat-solat terdahulu. Saya jahil dahulu.
Mohon pencerahan. Terima kasih
Jawapan
Niat merupakan rukun bagi sesebuah amal ibadah. Adapun melafazkan niat ibadat, para ulama membincangkan hal ini dari sudut hukum syarak khususnya.
Dalam mazhab Syafi‘i, lafaz niat bukan syarat sah ibadat, iaitu amalan ini bukan suatu yang diwajibkan. Namun begitu, ia termasuk dalam perbuatan yang dianjurkan oleh syarak (mustahab). Imam al-Nawawi menyebutkan yang bermaksud:
“Niat yang wajib ketika berwuduk ialah niat di dalam hati. Tidak wajib melafazkan niat dengan lisan dan tidak sah jika hanya melafazkan niat sahaja. Oleh itu, apabila digabungkan niat dalam hati dengan lafaznya secara lisan maka itu lebih kuat dan afdal. Hal ini sepertimana yang disepakati ulama mazhab Syafi‘i.” (Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab)
Merujuk soalan yang diajukan, wuduk tersebut dikira sah. Niat seseorang itu adalah sah apabila dia sudah meletakkan azam di dalam hati dan fikirannya tentang hakikat berwuduk tersebut dan telah membezakan dengan perbuatan-perbuatan basuhan harian yang lain.
Sekian, terima kasih