BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum 

saya bekerja di muji , muji ini kedai retail yang menjual perabot , baju dan makanan. Namun, saya baru perasan bahawa terdapat penjualan makanan yang mengandungi babi seperti marshmallow. Persoalan saya perlukah saya teruskan atau berhenti dan mencari pekerjaan lain?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan,

Secara asasnya, hukum bekerja di sesuatu tempat bergantung kepada aktiviti utama (core business) dan tugas yang dilakukan oleh seseorang dalam organisasi tersebut.

Jika kita lihat kepada situasi saudara, MUJI ialah sebuah kedai retail yang menjual pelbagai jenis barangan seperti pakaian, perabot, alat tulis dan makanan. Maka, aktiviti utamanya bukanlah berasaskan penjualan makanan haram, tetapi lebih kepada perniagaan umum yang dipercayai sebahagian besar perniagaannya adalah halal, namun dalam masa yang sama ia juga turut menjual sedikit barangan tidak halal seperti produk yang mengandungi babi.

Dalam hal ini, hukum bekerja di tempat tersebut dibenarkan sekiranya tugas saudara tidak terlibat secara langsung dengan urusan penjualan atau promosi produk yang haram itu. Contohnya, jika saudara bertugas di bahagian perabot, pakaian atau khidmat pelanggan umum, maka pendapatan saudara masih dianggap halal, kerana sumber utamanya bukan dari urusan haram.

Namun, jika tugas saudara secara langsung mengurus, mempromosi, membungkus, atau menjual produk makanan yang mengandungi bahan haram, maka ketika itu pendapatan saudara menjadi syubhah atau haram, kerana terdapat unsur ta‘āwun ‘alā al-ithm (tolong-menolong dalam dosa). Sebagaimana Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Maidah ayat ke-2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.

Maka, langkah terbaik ialah:

  1. Nilai semula posisi kerja saudara. Jika tidak terlibat langsung dengan produk haram, saudara boleh kekal bekerja sambil berusaha mencari peluang pekerjaan lain yang lebih bersih dari unsur syubhah.

  2. Jika ada pilihan lain yang lebih suci sumbernya, maka berpindah kerja adalah lebih afdhal sebagai langkah berhati-hati terhadap rezeki.

  3. Jika sukar untuk berpindah buat masa ini, saudara boleh kekal sementara, namun dengan niat untuk mencari rezeki yang lebih bersih sebaik sahaja ada peluang, dan pastikan saudara tidak mempromosi atau menjual produk yang haram itu.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih. 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 17

message user image