BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt mufti, saya ada soalan tentang lintasan hati dalam solat.

Situasinya seperti, masa saya tengah solat, ada lintasan hati yang mengatakan bahawa "kalau aku rasa betul aku tak buat dua sujud waktu rakaat tadi aku ulang balik solat", (lintasan ini terjadi sewaktu saya sedang rukuk), lintasan hati itu datang secara tiba-tiba, sedangkan "rakaat tadi" itu sudah berlalu dan saya pasti bahawa setiap rakaat sudah dibuat dengan sehabis baik, soalannya adakah solat saya batal jika adanya lintasan hati sedemikian?

Mohon pencerahan mufti, respon mufti amat saya hargai. Terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dilaksanakan. Sekiranya ia tidak dilaksanakan, maka solat yang ditunaikan dikira tidak sah. 

Walau bagaimanapun, berdasarkan situasi yang dinyatakan didapati bahawa wujudnya keyakinan atau kepastian bahawa setiap rakaat sudah dilaksanakan dengan sehabis baik, maka solat tersebut dikira sah dan tidak perlu diganti sebagaimana kaedah fiqh: 

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).

Oleh itu, disarankan agar mengabaikan lintasan hati yang boleh membawa kepada was-was dan binalah keyakinan dengan menuntut ilmu serta berdoa kepada Allah SWT sebelum menunaikan solat, antara doa yang boleh diamalkan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 97: 

رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 17

message user image