BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan. Boleh kah saya bermain game dan menjadi orang tengah dalam transaksi hack antara hacker dan juga pelanggan? Pelanggan tersebut bayar duit kepada hacker dan saya akan bagitahu apa yang perlu dibuat kepada pelanggan. Pelanggan ada yang islam dan ada yang bukan islam manakala hacker tersebut adalah bukan islam. Kalau dapat pelanggan yang ingin membeli dengan harga tinggi tertentu, saya akan dapat commission berbentuk duit secara online daripada hacker tersebut. Dan saya juga akan dapat barang yg dihack dalam game account saya secara percuma. Adakah duit itu haram?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil

Menjadi orang tengah dalam urus niaga yang melibatkan penggodaman (hacking) adalah berisiko tinggi secara undang‑undang dan etika kerana perbuatan ini seolahnya mencuri dan mengambil bukan hak. Menyokong atau membantu aktiviti haram (termasuk memindah atau menerima wang yang berkaitan serangan siber) boleh membawa kepada tuduhan jenayah, rampasan aset, dan kesan peribadi yang serius.

Dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan terhadap bentuk pekerjaan yang dinyatakan, maka hukum pekerjaan tersebut adalah haram, dan pendapatan yang diperoleh daripadanya juga dikira tidak halal kerana bersumber daripada perkara yang diharamkan oleh syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image