Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum , saya akan menghadapi satu peperiksaan wajib untuk subjek ACCA saya, peperiksaan tersebut merupakan peperiksaan global yang diadakan serentak seluruh negara dan hanya dijalankan 4 kali setahun mengikut waktu yang ditetapkan yang tidak boleh ditunda atau diubah. Saya telah diwajibkan untuk mengambil peperiksaan tersebut untuk kelulusan sijil professional saya pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Saya telah ditetapkan untuk menjalani peperiksaan tepat pada pukul 6 petang. Peperiksaan tersebut akan dijalankan selama 3 jam dan di pusat peperiksaan yang ditetapkan. Soalan yang ingin dikemukakan ialah apakah hukum untuk saya meninggalkan atau mengqada solat maghrib disebabkan peperiksaan tersebut dan apa yang perlu dilakukan dalam situasi tersebut?
Jawapan
Dalam keadaan seperti ini, ia disebut sebagai masyaqqah iaitu kesusahan atau kepayahan. Maka, dalam keadaan masyaqqah adanya rukhsah sebagai pemudah cara. Justeru, tindakan yang perlu dilakukan adalah melaksanakan solat secara jamak takhir iaitu pada waktu isyak secara tamam (sempurna) tanpa perlu diqasarkan. Menurut mazhab Shafi'i jamak hanya dibenarkan dalam keadaan bermusafir, sakit dan hujan. Namun begitu, terdapat keadaan-keadaan yang mengharuskan jamak sekiranya ada masyaqqah yang tidak dapat dielakkan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA:
Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menghimpunkan (jamak) solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya' bukan disebabkan peperangan, dan tidak hujan. Dalam riwayat lain: Bukan disebabkan peperangan dan tidak musafir. (Riwayat Muslim)
Oleh itu, situasi di atas termasuk dalam konteks masyaqqah yang membolehkan seseorang menunaikan solat secara jamak, iaitu jamak takhir pada solat Isyak dalam konteks ini.
Sekian, terima kasih.