Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , saya nak tanya. Suami saya ni beritahu tentang lafaz taklik jika saya buat 3 perkara . Iaitu ....
1. Jika saya berikan duit kepada emak saya tanpa pengetahuan suami saya.
2. Jika saya membuat personal loan di mana² bank tanpa ada surat hitam putih dan tanpa pengetahuan suami saya.
3. Jika saya menekan link dengan perkara yang berkaitan dengan wang, tanpa pengetahuan dia, yang boleh menjejaskan kewangan atau keselamatan wang — contohnya macam loan, transfer, atau tekan link scam.
Dan ia akan dijatuhkan talak .
Soalan saya ...
Saya dah beli barang dari shoppee tanpa pengetahuan suami saya . Hanya sekadar beli barang biasa sahaja.Adakah ia sudah jatuh talak?
Jawapan
Secara umumnya berdasarkan kenyataan puan di atas menunjukan bahawa suami puan seolah-olah menetapkan tujuan lafaz taklik itu menjurus kepada perkara yang boleh menjejaskan kewangan atau keselamatan kewangan keluarga. Ketiga-tiga lafaz tersebut, semua syaratnya berkait rapat dengan risiko kerugian atau kehilangan kewangan. Oleh yang demikian, tindakan puan membeli barang dari shoppee tanpa pengetahuan suami tidaklah termasuk dalam tiga lafaz yang suami sebutkan itu. Dan pembelian yang puan lakukan itu juga tidaklah menyebabkan berlakunya risiko kerugian kewangan atau kehilangan wang yang besar.
Walaubagaimanapun, memandangkan jabatan kami tiada autoriti untuk mengesahkan atau menentukan taklik itu jatuh atau tidak, maka adalah disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara-perkara tersebut dalam kadar yang segera, kerana pihak yang berautoriti dalam hal ini adalah Mahkamah Syariah sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.
Sekian, terima kasih.