BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya ada meminta suami untuk memberi lafaz taklik jika dia berjumpa dengan perempuan (skandal), lalu suami menaip Lafaz Taklik tersebut pada telefon, "Kalau aku berjumpa atau contact semula dengan perempuan tersebut akan jatuh talak satu keatas kau" dan suami menunjukkan ayat taklik tersebut kepada saya dan bertanya "Betul ke nak taklik macam ni? Kalau nak aku send ke whatsapp" dan saya menjawab nak. Tapi suami kata tidak perlu, dan tidak send taklik tersebut di whatsapp. Malam tu suami saya berjumpa dengan perempuan tu. Adakah taklik yang ditulis di telefon tadi sah serta merta dan adakah talak sudah jatuh?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan, mana-mana perkataan atau ayat yang mengandungi makna talak yang ditulis melalui aplikasi whatsapp, dalam bentuk kitabah atau tulisan dan yang seumpama dengannya adalah dikira sebagai lafaz talak dalam bentuk kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku. Walau bagaimanapun sekiranya suami menulis ayat atau perkataan tersebut sambil melafazkannya secara jelas dan didengari oleh suami lafaz tersebut, maka ia menjadi talak yang sorih atau jelas, di mana walaupun suami tiada berniat menceraikan isterinya, maka talak akan jatuh. Dalam perkara ini, puan boleh mendapatkan kepastian daripada pihak suami, adakah ketika beliau menaip ayat tersebut diiringi dengan niat untuk menceraikan isterinya atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 38

message user image