Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada soalan mengenai hutang. Bagaimana nak bayar semula tapi saya tak tahu siapa orangnya.
Ceritanya begini, waktu saya umur 15 tahun, saya jadi setiausaha kelab dan waktu tu kelab ada minta kutipan wang RM5 atau RM3, saya tak ingat, untuk jamuan akhir tahun kelab. Saya ada kumpul dalam RM200+ dari ramai orang. Saya tak ingat langsung pasal duit tu samada saya bagi dekat bendahari ke tak saya betul-betul takda memori, yang saya ingat cuma saya pernah sekali beli makanan guna duit itu dan saya rasa saya dah guna semua duit itu. Untuk apa? Saya tak ingat. Tapi at the same time saya rasa macam tak logik sebab takkan lah saya boleh lepas macamtu je? Tapi tu lah saya ni rasa yakin sangat saya ada guna duit tu.
Jadi macam mana ya untuk saya bayar semula duit tu? Bolehkah kalau saya sedekah ke masjid? Mohon pencerahan.
Terima kasih mufti.
Jawapan
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil
Ayat ini memberi peringatan agar setiap harta yang diurus atau diterima hendaklah berdasarkan cara yang sah dan benar, serta dijauhi daripada sebarang bentuk pengambilan harta secara tidak adil atau meragukan.
Namun dalam keadaan puan menghadapi kesukaran untuk memastikan semula jumlah kutipan yang dibuat secara individu, atau tidak mengingati dengan tepat nilai yang telah diterima, maka langkah terbaik ialah menganggarkan jumlah tersebut dengan menambah sedikit nilai agar lebih diyakini dan menenangkan hati bahawa tanggungjawab telah disempurnakan.
Setelah itu, jumlah berkenaan bolehlah diserahkan sama ada kepada Majlis Agama Islam Negeri, masjid atau surau, atau golongan fakir miskin dengan niat sedekah bagi menggantikan amanah yang tidak dapat disalurkan dengan pasti.
Akhir sekali, perbanyakkan istighfar serta mohonlah keampunan daripada Allah SWT atas perkara yang telah berlaku. Semoga Allah menerima amalan puan, melapangkan hati dengan ketenangan, dan mengurniakan ganjaran atas keikhlasan dalam menyempurnakan amanah ini.
Sekian, terima kasih