Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya bekerja di syarikat yang membuat mesin conveyor kepada pelanggan syarikat. Baru-baru ini kami mendapat projek untuk membuat conveyor yang membawa botol minumam alkohol.
Saya sebagai jurutera di syarikat perlu membuat reka bentuk conveyor untuk projek tersebut. Apakah hukum pekerjaan yang saya lakukan ?
Saya faham perniagaan yang terlibat dalam minuman alkohol adalah haram, tapi sayarikat saya bekerja bukan membuat sistem untuk minuman alkohol secara khusus, cuma conveyor kami digunakan untuk membawa barangan tersebut. Syarikat saya bekerja adalah syarikat non-muslim dan 90% jurutera adalah berbangsa melayu islam.
Saya tiada pilihan lain untuk mengelak projek ini kerana kekurangan jurutera non-muslim.
Pilihan lain untuk mengelak adalah degan berhenti kerja. Jika saya berhenti kerja, ia akan memberikan kesan lebih teruk kepada saya kerana kehilangan punca pendapatan.
Mintak pihak Jabatan Mufti Selangor boleh memberikan pencerahan berkenaan isu ini. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan situasi yang diterangkan, tuan masih boleh bekerja di syarikat terbabit dan gaji yang diterima masih boleh diterima. Hal ini kerana bukan tuan berurusan secara langsung dalam membuat keputusan projek tersebut. Bahkan ia adalah keputusan syarikat tempat tuan bekerja. Tuan boleh bekerja seperti biasa dengan syarat tidak meredai syarikat arak tersebut. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Bakar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika ia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan jika ia tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemahnya iman. (Riwayat al-Bukhari)
Pada masa yang sama perbanyakkan istighfar serta berdoa agar Allah SWT memberikan jalan keluar dari permasalahan yang dihadapi.
Sekian, terima kasih.