Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya solat separuh duduk di kerusi. Saya duduk waktu sujud dan duduk antara 2 sujud (saya buat seperti apa yang saya belajar). kedudukkan kerusi: kaki kerusi yang belakang tu sama dengan jemaah sihat yang lain. tapi pengerusi surau tu suruh buat saya berdiri sama macam jemaah yang lain. Jadi kerusi tu akan kebelakanglah. ada ustaz ni cakap kalau nak buat macam tu kena di hujung saf. Dia kata lagi dalam mana-mana kitab tak ada pun cerita duduk di kerusi. yang ada duduk di lantai. yang duduk di kerusi tu pendapa para ulama. Pendapat para ulama tu tak ada yang betul dan salah kan? ikutlah mana pendapat kita ikut yang mana. Ada ustaz lain cakap buat saf baru di belakang. tapi saya ke surau waktu covid (solat jarak). bila boleh solat macam biasa (rapat). ramai orang datang ke saya katakan kedudukkan kerusi saya tu salah. tapi saya tak pernah ikut apa yang mereka katakan itu. mereka tak adalah ulang cakap benda yang sama kepada saya. Tapi tahun lepas tahun lepas tukar pengerusi lain hingga ke hari ini. Dia suruh buat berdiri sama dengan makmum di sebelah. Tapi macam yang saya kata: saya tak pernah ikut orang kata. sebab yang saya berlajar pewaris nabi ulama: nabi >> sahabat >> tabi'in >> tabi' tabi'in >> ulama. Lepas tu ulama ni pula terbahagi kepada 2. ulama (mengeluarkan fatwa umum) dan mufti (adalah ulama yang di lantik sesebuah kerajaan - mengeluarkan fatwa berdasarkan masalah umat). ulama bukan semuanya mufti, tetapi mufti ialah ulama. itu apa yang saya berlajar. tapi sampai ke hari ini dia katakan macam tu, Dia kata itu cara yang betul (berdiri sama macam saf jemaah yang sihat). macam tu tak masuk dalam kategori fanatik ke? dia berulang-ulang kali nak saya ikut pendapatnya. sebab saya ada baca 1 hadis: nabi tak mengaku umat orang yang fanatik ni. lepas tu ada la orang lain back up pengerusi tu. dia kata "saya tu ke depan macam saya buat tu jadi macam imam". lepas dia cakap macam tu. saya buka laman web bukan untuk cari apa yang dia katakan. tapi tengah search tu saya ada terjumpa kenyataan mufti wilayah katakan kedepan tu tak boleh melebihi imam
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, seseorang yang tidak mampu menunaikan solat dalam keadaan berdiri dibolehkan melaksanakannya sambil duduk. Hal ini berasaskan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri. Jika kamu tidak mampu, maka solatlah dalam keadaan duduk. Dan jika kamu tidak mampu juga, maka solatlah di atas lambung. (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan bahawa kemampuan berdiri menjadi asas dalam solat, namun apabila wujud keuzuran atau kesukaran yang nyata, syarak memberikan kelonggaran untuk menunaikan solatnya secara duduk.
Berdasarkan prinsip ini, terdapat beberapa panduan yang wajar diambil perhatian bagi jemaah yang menunaikan solat dalam keadaan duduk, khususnya di masjid atau surau:
Kerusi yang digunakan hendaklah ditempatkan di hujung saf.
Bahagian belakang kaki kerusi perlu sejajar dengan kedudukan kaki jemaah yang berdiri di saf yang sama.
Kedudukan mereka yang solat di atas kerusi tidak boleh melebihi barisan imam.
Kerusi yang digunakan sebaiknya bersaiz kecil dan tidak terlalu besar bagi memastikan keseragaman saf serta memberi keselesaan kepada jemaah lain.
Di samping itu, tuan juga boleh melayari Garis Panduan Pelaksanaan Solat Secara Duduk di atas Kerusi yang diterbitkan oleh JAKIM pada halaman 24 sebagai rujukan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Untuk maklumat lanjut sila layari: https://www.islam.gov.my/ms/e-penerbitan/4744-gp-solat-2
Sekian, terima kasih.