Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apa hukum menjual makanan yang diiklankan seperti percuma tetapi disertakan dalam bentuk set makanan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dalam dunia perniagaan masa kini, pelbagai strategi pemasaran digunakan bagi menarik minat pelanggan, antaranya dengan menawarkan makanan atau minuman secara “percuma” apabila dibeli dalam bentuk set. Contohnya, iklan seperti “air percuma dengan setiap set makanan” atau “kuih percuma dengan setiap hidangan utama”. Namun hakikatnya, harga bagi item yang dikatakan percuma itu sering kali telah diambil kira dalam jumlah keseluruhan harga set tersebut.
Secara asasnya, hukum amalan ini adalah harus, sekiranya tidak terdapat unsur penipuan (gharar atau tadlis) dan pelanggan memahami bahawa harga yang dibayar adalah bagi keseluruhan set makanan tersebut. Dalam keadaan ini, istilah “percuma” dianggap sebagai satu bentuk promosi dan tidak menjejaskan kesahan akad jual beli. Islam membenarkan strategi pemasaran yang jujur dan telus, selagi tidak mengelirukan atau menipu pembeli.
Namun begitu, sekiranya istilah “percuma” itu digunakan dengan tujuan mengaburi pelanggan atau menimbulkan tanggapan bahawa sesuatu barangan benar-benar diberikan tanpa bayaran, sedangkan nilainya telah dimasukkan dalam harga keseluruhan, maka perbuatan tersebut termasuk dalam bentuk penipuan yang dilarang oleh syarak. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW. bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada golongan kami. (Riwayat Muslim).
Islam menuntut setiap peniaga agar bersikap jujur dan amanah dalam urusan perniagaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Syu'ara ayat 183:
Maksudnya: Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai.
Kesimpulannya, promosi makanan yang menggunakan istilah “percuma” adalah dibenarkan selagi tiada unsur penipuan dan pelanggan memahami harga sebenar yang dibayar. Namun, sekiranya ia dibuat untuk mengaburi atau memperdaya pembeli, maka hukumnya tidak dibenarkan. Islam sentiasa menyeru kepada kejujuran, ketelusan dan keberkatan dalam setiap urusan jual beli.
Sekian, terima kasih