Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya adalah ahli katiah masjid/surau ditempat saya. Setiap hari selepas asar saya dapati ada ahli jemaah membaca buku hadis berkenaan fadhilat amal. Sebelum ini mereka baca kitab Fadhilat Amal karangan Sheikhul Hadith Maulana Zakariyya alKandahlawi rah. Perkara ini tidak menjadi masaalah kerana alim ulamak dakwah secara jumhur memberi persetujuan untuk kitab ini dibaca oleh orang awam secara ijtima'i atau umum kerana kitab ini lengkap dengan syarah yang terperinci ditulis oleh Maulana Zakariyya rah. untuk kefahaman umum.
Sejak akhir-akhir ini kumpulan dakwah ini mula membaca kitab Muntakhab Hadith karangan Maulana Saad yang penuh kontroversi. Kitab ini hany memberikan makna hadis tanpa syarah atau keterangan yang terperinci dan jelas. Memandangkan pembaca bukanlah mereka yang ahli dalam bidang hadis, adalah di khuatiri kesilap-fahaman dan akhirnya kesesatan bakal dialami kepada orang awam yang mendengar.
Apa pandangan ustaz atas perkara ini dan adakah kami orang awam boleh menghalang atau menasihatkan pembaca awam ini untuk menggunakan kitab yang yang asal dan sesuai untuk dibaca didepan orang awam. Terima kasih atas perhatian ustaz dan diharapkan perkara ini diberi perhatian berat dan nasihat diberikan kepada yang terlibat untuk diamalkan di setiap masjid dan surau. Jazakumullahukhair.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan.
Isu yang melibatkan Maulana Saad dalam kalangan Jemaah Tabligh merupakan perkara yang mempunyai pelbagai sudut maklumat dan tidak semuanya jelas serta disepakati. Oleh itu, isu ini tidak dapat dihuraikan secara terperinci tanpa maklumat yang sahih dan disahkan oleh pihak berautoriti dalam jemaah tersebut.
Berhubung dengan kitab Muntakhab Hadith, sebaiknya ia dirujuk terus kepada pihak Markaz Jemaah Tabligh di Malaysia bagi mendapatkan penjelasan yang tepat dan rasmi, khususnya berkaitan kedudukan penulis, metodologi penyusunan serta penggunaan kitab tersebut dalam kalangan jemaah.
Sebagai nasihat umum, bagi individu yang bukan daripada latar belakang pengajian agama, pembacaan hadis secara ringkas hanya sesuai bagi hadis-hadis yang mudah difahami atau hadis yang mempunyai huraian yang lengkap, tepat dan selari dengan neraca Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini bagi mengelakkan salah faham atau kesimpulan yang tidak tepat terhadap maksud sebenar sabda Nabi SAW.
Sekian, terima kasih.