Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, setiap kali selepas buang air kecil, saya akan rasa seperti masih ada sisa air kecil di saluran. Saya dh cuba buat istibra' dan tunggu sekejap sebelum cuci, tapi masih sama, apa pandangan ustaz untuk saya lakukan bagi benar-benar memastikan air kecil itu betul-betul habis dan tidak rasa ganggu atau was-was ketika solat
Jawapan
Merujuk kepada permasalahan yang diajukan, Islam menetapkan bahawa seseorang yang ingin mendirikan solat hendaklah berada dalam keadaan suci pada tubuh badan, pakaian dan tempat solat. Namun kewajipan menjaga kesucian tidaklah sampai membebankan atau menyukarkan seseorang sehingga melampaui batas kemampuan dirinya. Perkara yang berlaku di luar kawalan manusia termasuk dalam kategori yang diberi kemaafan oleh syarak.
Seseorang digalakkan melakukan apa sahaja cara yang dapat membantu memastikan air kencing keluar sepenuhnya, antaranya dengan melakukan istibrā’, dan hukumnya adalah sunat. Perasaan seolah-olah masih terdapat sisa air kencing di saluran selepas selesai membuang air biasanya hanyalah lintasan perasaan dan andaian semata-mata. Selagi tidak ada tanda yang jelas, maka ia tidak menjejaskan kesucian.
Kaedah asas dalam syarak menetapkan bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci, dan ia kekal suci sehinggalah terdapat bukti yang meyakinkan tentang kewujudan najis. Najis pula tergolong dalam perkara yang mendatang, dan kewujudannya tidak boleh ditentukan hanya dengan sangkaan, keraguan atau perasaan semata-mata. Ia memerlukan keyakinan.
Rasa tidak yakin atau sering merasa ragu-ragu merupakan salah satu bentuk was-was yang perlu dielakkan, kerana ia adalah gangguan syaitan dan boleh membawa kepada tekanan jiwa, kesukaran beribadah serta pelbagai permasalahan lain pada masa hadapan. Para ulama sangat menekankan agar penyakit was-was ditangani segera, kerana jika dibiarkan berlarutan ia boleh menjadi lebih parah dan mengganggu ketenangan hati.
Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini.
Sekian, terima kasih.