BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ade kemusykilan tentang solat Jamak dan Qasar. Pemahaman saya, salah satu syarat mestilah lebih 2 marhalah, tidak melebihi 3 hari tidak termasuk hari pergi dan balik. Kalau saya ingin melancong ke luar negara selama 9 hari termasuk hari pergi dan balik, tetapi berpindah randah dan keluar mukim. Contohnya, 21/11 malam bertolak, 22/11 smpi. 22/11-24/11 saya duduk di tmpt A, 24/11-26/11 saya duduk di tmpt B yg lebih 2 marhalah, dan 26/11-29/11 saya duduk di tempat A, di mane 29/11 saya akan balik. Adekah perjalanan saya boleh dilakukan Jamak Qasar? Mohon pencerahan. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, dibolehkan solat jamak dan qasar semasa perjalanan pergi dan balik serta sepanjang tempoh permusafiran tersebut jika cukup syarat-syarat sah solat jamak dan qasar. Kaedah pengiraan hari adalah bermula apabila puan telah tiba di tempat bermukim tersebut. Selama mana niat bermukim tidak melebihi 3 hari 3 malam di sesuatu tempat maka boleh dilakukan solat jamak & qasar. Lebih jelas lagi boleh rujuk kenyataan berikut:

  1. 21/11 malam bertolak sehingga 22/11 sampai: Boleh melakukan solat jamak dan qasar kerana dikira hari perjalanan bertolak ke tempat bermukim.

  2. 23/11 dan 24/11 (Tempat A): Boleh melakukan solat jamak dan qasar kerana belum melebihi 3 hari 3 malam bermukim.

  3. 24/11 (Perjalanan dari tempat A ke tempat B): Boleh melakukan solat jamak dan qasar dan dikira hari bertolak ke tempat permusafiran yang baru kerana jarak perjalanan dari tempat A ke B melebihi 2 marhalah. 

  4. 25/11 dan 26/11: Boleh melakukan solat jamak dan qasar kerana belum melebihi 3 hari 3 malam bermukim.

  5. 26/11: Boleh melakukan solat jamak dan qasar dan dikira hari bertolak ke tempat permusafiran yang baru (tempat A dianggap tempat bermukim yang baru).

  6. 27/11 - 29/11: Boleh melakukan solat jamak dan qasar kerana masih berada dalam tempoh maksimum syarat permusafiran iaitu 3 hari 3 malam.

  7. 29/11: Boleh melakukan solat jamak dan qasar kerana dikira hari bertolak pulang.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 16

message user image