Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ibu tiri telah bersara berumur 60an dan masih lagi menanggung hutang rumah dan kereta. Suami pun pesara berumur 70an. Anak tiri 3 lelaki dan 2 perempuan. Anak tiri lelaki masih tinggal bersama saya 2 orang. Seorang masih bujang dan seorang telah berkahwin dan 3 orang anak.
Soalan
1. Salahkah saya merasa tidak puas hati kerana anak tiri lelaki tinggal di rumah saya . Bil letrik, air dan keperluan harian saya yang kena uruskan semua. Kerapkali ajukan masalah pada suami, tapi jawapan hanya bersabar. Sedangkan anak tiri sihat Walafiat berumur 38 dan 36 tahun. Saya merasa tertekan memikirkan urusan kewangan. Sedangkan mereka tidak langsung mahu menghulur bantuan membayar bil2.
2. Berdosakan saya mencadangkan kepada suami supaya anak lelakinya keluar daripada rumah saya supaya mereka berdikari?
3. Apa hukumnya anak tiri lelaki membiarkan saya ibu tiri menanggung kehidupan mereka dan bagaimana harus saya memperjelaskan permasalahan ini kepada mereka, sedang bapanya tidak memberi kerjasama kepada saya? Saya merasa diri dipergunakan.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Perasaan tidak puas hati puan itu bukan dosa, kerana ia datang daripada ketidakadilan dan keletihan menanggung beban yang bukan tanggungjawab puan. Dalam Islam, perasaan marah atau tertekan atas perkara yang tidak adil adalah fitrah manusia. Sepatutnya anak tiri lebih-lebih lagi lelaki yang sudah dewasa dan sihat tidak lagi menjadi tanggungan ibu atau bapa apatah lagi ibu tiri mereka. Mereka sepatutnya berdikari dan wajib menanggung diri sendiri dan keluarga mereka kerana mereka juga ada yang sudah berumahtangga.
2. Islam tidak melarang ibu tiri menegakkan keadilan dalam rumah tangga, apatah lagi bila kewangan menjadi beban. Cadangan supaya anak-anak dewasa keluar untuk hidup berdikari bukan bermakna puan menghalau, tetapi ia sebagai suatu proses pendidikan agar anak-anak mampu untuk bertanggungjawab dan berusaha untuk menyediakan nafkah dan keperluan kepada diri mereka dan keluarga mereka. Namun proses tersebut hendaklah dilakukan dengan lemah lembut dan penuh himah, bukan dengan perasaan marah atau beremosi, tetapi dengan penuh kasih sayang dan tegas dengan ketetapan hukum bahawa seseorang itu dikira berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang berada di bawah tanggungannya dan termasuk juga dikira berdosa kerana menyusahkan atau membiarkan orang lain menanggung beban yang sepatutnya menjadi tanggungjawab sendiri. Ini sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Amru R.Anhuma, bersabda Rasulullah SAW :
Maksudnya : Cukuplah seseorang itu dikira berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang berada di bawah tanggungannya. (Riwayat Abi Daud)
3. Menurut Imam Sarbini Al Syafie dalam kitab Mughni al-Muhtaj :
Maksudnya : Tidak wajib ke atas isteri memberi nafkah kepada anak-anak suaminya daripada isteri lain, kerana tiada hubungan nasab antara mereka. Ini bermaksud, ibu tiri tidak ada kewajipan syara' untuk menanggung anak tiri.
Dari segi hukum dan adab Islam, anak-anak tiri itu berdosa jika dengan sengaja membiarkan puan menanggung beban hidup mereka, apatah lagi mereka tinggal di rumah puan tanpa memberi sebarang sumbangan dan bantuan, walhal mereka mampu bekerja.
Langkah terbaik yang mungkin puan boleh gunakan adalah melalui pendekatan berhemah dan diplomasi dengan berbincang bersama suami dan anak-anak tiri. Elakkan dengan cara yang kasar dan beremosi serta luahkan lah dengan penuh kejujuran komitmen yang puan perlu lunaskan dan apa tanggungjawab yang anak-anak tiri puan wajib laksanakan. Sekiranya wajar boleh juga perbincangan itu dihadiri oleh mana-mana pihak ketiga yang pihak puan dan suami puan hormati sebagai orang tengah yang tidak bias kepada mana-mana pihak.
Selain itu, banyakkan lah berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agat Allah SWT memudahkan urusan puan serta melembut hati suami dan anak-anak tiri puan agar mereka terbuka hati dan faham terhadap permasalahan yang berlaku ini.
Sekian, terima kasih