BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

benarkah ada badi pengikat kasih sayang suami isteri..jika suami isteri berpisah atau bercerai salah seorang akan menderita dn menjadi gila atau mati..bagaimana utk putuskan badi tersebut or


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan, dalam Islam, tiada dalil daripada Al-Quran atau hadis sahih yang menyebut adanya badi pengikat kasih sayang yang menyebabkan seseorang gila atau mati jika berpisah. Badi, sial, tuah, atau pengikat kasih tidak diakui secara syara', kerana semua itu berlaku atas kehendak dan izin dari Allah SWT. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 102 :

وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ

Maksudnya : Dan mereka (ahli sihir) itu tidak dapat memberi mudarat dengan sihirnya kepada sesiapa pun melainkan dengan izin Allah.

Dan dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah juga dijelaskan bahawa tiada sesuatu yang berlaku di alam ini, sama ada baik atau buruk, melainkan dengan izin dan kehendak Allah. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Surah al-Insan, ayat 30 :

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ

Maksudnya : Dan kamu tidak dapat berkehendak melainkan Allah yang menghendaki

Namun syara' juga mengakui kewujudan sihir dan gangguan jin kerana disebut dalam Al-Quran dan hadis, tetapi kuasanya terbatas, hanya memberi kesan dengan izin Allah. Ini sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 102 seperti dinyatakan di atas.

وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ

Maksudnya : Dan mereka (ahli sihir) itu tidak dapat memberi mudarat dengan sihirnya kepada sesiapa pun melainkan dengan izin Allah.

Jika benar ada tanda-tanda gangguan seperti fikiran terganggu, mimpi pelik, rasa terikat tanpa sebab, sering terbayang bekas pasangan, dan sebagaimanya, maka Islam mengajar cara perlindungan dan rawatan syarie yang sesuai, antaranya:

1. Baca ayat-ayat berikut setiap hari:

  • Al-Fatihah

  • Ayat Kursi (Al-Baqarah : ayat 255)

  • Tiga Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas)

  • Al-Baqarah : 102, 163–164, 285–286

2. Perbanyakkan zikir dan solat malam, sebab hati yang dekat dengan Allah tidak mudah diikat oleh makhluk.

Istiqamahlah dengan amalan-amalan dan zikir-zikir yang sohih serta setiap kewajiban yang diwajibkan syara' hendaklah dilaksanakan dengan sempurna serta jauhilah setiap larangan Allah SWT. Yakinlah bahawa dengan kombinasi ilmu dan amal yang berterusan,  Allah SWT pasti akan membantu kita dalam menangani setiap permasalah dan ujian yang ditimpakan kepada hamba-hambanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 36

message user image