BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada beberapa soalan yang hendak ditanya tentang bolehkah saya menggunakan wakalah wali kerana ayah saya telah meninggal dunia dan saya mempunyai abang tiri sebapa. Tetapi hubungan keluarga ibu saya dan ibu tiri saya agak kurang baik, jadi abang saya tidak akan hadir di majlis nikah saya nanti. Akan tetapi saya bercadang untuk pergi berjumpa abang saya dan meminta dia untuk menandatangani borang wakalah tersebut.

Soalan saya,

1) Bolehkah abang saya menandatangani borang wakalah itu dimana sahaja dia berada atau abang saya wajib tanda tangan di hadapan Penolong Pendaftar Perkahwinan di kariah masjid?

2) Saya mendaftar perkahwinan di negeri Perak manakala abang saya tinggal di negeri Kelantan, adakah borang wakalah tersebut berbeza dan borang negeri mana patut ditandatangi?

Mohon pihak Encik/Puan dapat menjawab persoalan saya. Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, setiap negeri mempunyai Enakmen Undang-Undang keluarga Islam, prosedur atau peraturan-peraturan masing-masing berkaitan urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk Orang Islam. Dan ia mungkin ada sedikit sebanyak perbezaan di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Oleh yang demikian, bagi menjawab pertanyaan saudari yang tinggal dan berurusan dengan negeri Perak, maka pihak kami boleh cuba menjawab pertanyaan di atas secara umum sahaja seperti perincian di bawah.

1. Abang saudari sebagai wali hendaklah menandatangani borang wakalah tersebut di hadapan Penolong Pendaftar Perkahwinan kariah masjid di mana pemohon tinggal (Perak) atau di mana tempat wali tinggal (Kelantan).

2. Berdasarkan maklumat di dalam Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM), kandungan borang wakalah antara negeri Perak dan Kelantan adalah sama sahaja, dan yang berbeza adalah logo yang tertera di atas borang tersebut. Maka lazimnya, jika wali berada di negeri lain, pemohon boleh menggunakan borang wakalah di tempat dia memohon (Perak), dan borang wakalah itu boleh digunakan oleh wali di Kelantan.

Sebenarnya saudari perlu merujuk pertanyaan ini kepada Jabatan Agama Islam Perak atau Pejabat Agama Islam Daerah di Perak kerana mereka lebih memahami prosedur negeri masing-masing. Oleh yang demikian saudari boleh menghubungi atau merujuk persoalan ini kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan terperinci.

  • Jabatan Agama Islam Perak, Kompleks Islam Darul Ridzuan, Jln Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh, Perak

  • (+60) 05-2084800

  • jaipk@perak.gov.my

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 44

message user image