BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum, saya ada soalan. suami telah melafazkan taklik "kalau tipu, jatuh talak 3" tapi pada masa yang sama si isteri telah memotong percakapan suami sedangkan dalam hati suami ingin menyebut "kalau tipu dengan sengaja, jatuh talak 3". adakah pihak mahkamah akan melihat pada lafaz sahaja atau lafaz + niat? dan kalau si isteri tipu dengan tidak sengaja/cakap lepas tanpa berfikir, adakah syarat taklik itu dilanggar? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

Dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj menyatakan :

وَيُعْتَبَرُ الْقَصْدُ فِي التَّعْلِيقِ كَمَا يُعْتَبَرُ فِي التَّطْلِيقِ

Maksudnya: Niat (qasd) diambil kira dalam lafaz taklik sebagaimana ia diambil kira dalam lafaz talak

Kenyataan ini menjelaskan bahawa niat tetap dinilai dalam taklik, sama ada untuk menentukan maksud sebenar lafaz, ataupun untuk membezakan antara ancaman dan taklik yang sah. Apatah lagi pihak isteri telah memotong percakapan suaminya sebelum beliau sempat menyempurnakan ayat tersebut sesuai dengan apa yang diniatkan atau dimaksudkan oleh suaminya.

Walau bagaimanapun, memandangkan jabatan kami tiada autoriti untuk mengesahkan atau menentukan taklik itu jatuh atau tidak, maka adalah disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara-perkara tersebut dalam kadar yang segera, kerana pihak yang berautoriti dalam hal ini adalah Mahkamah Syariah sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 41

message user image