BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Tuan Mufti.

Saya ada beberapa soalan, saya pernah bekerja sebagai “debt collector” pengutip hutang / pinjaman di sebuah bank konvensional, tetapi turut menyediakan perkhidmatan perbankan Islam.

 

Portfolio :-

Portfolio kutipan hutang / pinjaman yang dipegang bagi pinjaman konvensional dan Islamik adalah lebih kurang sama.

 

Skop kerja :-

1) Membuat kutipan hutang / pinjaman bagi pelanggan yang mempunyai tunggakan bayaran bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan Islamik sejak tahun 2014. 

 

2) Membuat “restructuring” akaun pinjaman bermula pada tahun 2020, dengan menyediakan “offer letter of restructuring accouns” surat tawaran / kontrak perjanjian bagi kedua-dua akaun pinjaman konvensional dan Islamik jika terdapat pelanggan yang mempunyai masalah kewangan dalam pembayaran tunggakan tersebut.

 

Selain dari menerima gaji bulanan, saya turut menerima bayaran “incentive” pada setiap bulan sekiranya berjaya mencapai KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan atasan dan “incentive” ini pula akan dibayar untuk setiap akaun pinjaman yang dibuat “restructuring” berdasarkan kepada “outstanding balance” akaun pinjaman berkenaan.

 

Saya telah bertaubat, dan telah “resign” dari pekerjaan bank itu. Saya kini berada dalam keadaan dilema dan tidak senang hati sejak menerima sejumlah wang dari hasil jualan rumah sebanyak RM108,000.00 yang sebelum ini dibeli menggunakan sumber dari pendapatan Halal (hasil dari pekerjaan terdahulu) dan dari pendapatan Syubhah (hasil dari pekerjaan bank berkenaan). Wang dari hasil jualan rumah ini masih tidak terusik dan berada di dalam akaun simpanan Islamik saya.

 

Berikut adalah beberapa kemusykilan / soalan saya :-

 

1) Adakah status wang yang diterima dari hasil jualan rumah, iaitu sebanyak RM108,000.00 in dianggap sebagai wang Syubhah memandangkan rumah tersebut diperolehi dari sumber pendapatan sepertimana di bawah, dan apakah pula hukum jika menggunakan wang tersebut?

 

Info :-

Pada tahun 2016, rumah kediaman ini dibeli pada harga RM330,000.00, dan ianya berasaskan kepada pembiayaan Islamik, iaitu “Commodity Murabahah Home / Shophouse Financing-i” dari Maybank Islamic Berhad.

 

Sumber kewangan :-

o RM23,100.00 (iaitu deposit 7% dari pengeluaran akaun 2 KWSP, dan saya beranggapan ia dari sumber pendapatan Halal – kerana jumlah keseluruhan wang simpanan KWSP adalah lebih kurang RM25,000.00 setakat tahun 2013, sebelum terlibat dalam dunia perbankan konvensional bermula pada tahun 2014)

o RM9,900.00 (iaitu deposit 3% dari sumber pendapatan Syubhah – gaji dan “incentive” dari pekerjaan bank)

o RM7,000.00 (iaitu bayaran “legal fee” guaman dari sumber pendapatan Syubhah – gaji dan “incentive” dari pekerjaan bank)

o RM129,000.00 (iaitu bayaran “instalment” bulanan dan “advance payment” dari sumber Syubhah – gaji dan “incentive” dari pekerjaan bank, dan dari hasil kutipan sewa rumah berkenaan sebelum ianya berjaya dijual pada tahun lepas)

 

2) Adakah saya berhak ke atas wang yang diterima dari hasil jualan ini, dan berapakah kadar yang dibenarkan untuk kegunaan diri sendiri dan ahli keluarga saya? 

 

3) Adakah saya dibenarkan untuk mengambil wang modal yakni dari bayaran deposit 7% rumah tersebut, iaitu sebanyak RM23,100.00 memandangkan ianya adalah dari sumber Halal (dari akaun simpanan KWSP sebelum terlibat dalam dunia perbankan konvensional bermula pada tahun 2014) ?

 

4) Adakah wang tersebut perlu disalurkan kepada pihak Baitulmal dan berapakah kadar yang diperlukan bagi tujuan pembersihan harta / wang tersebut?

 

5) Adakah status wang yang diterima dari hasil kutipan sewa rumah berkenaan sebelum ini (sebelum ianya berjaya dijual pada tahun lepas) turut dianggap sebagai wang Syubhah?

 

6) Adakah wajib untuk saya menggantikan semula wang dari hasil kutipan sewa yang telah pun dibelanjakan keseluruhannya, iaitu sebanyak RM72,000.00 (bagi tempoh 6 tahun sewaan rumah berkenaan) dan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal?

 

7) Adakah wajib untuk saya menggantikan semula wang gaji bulanan dan wang “incentive” yang telah pun dibelanjakan keseluruhannya, iaitu lebih kurang RM400,000.00 (bagi tempoh pekerjaan saya hampir 10 tahun di bank berkenaan) dan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal? 

 

Sebagai maklumat tambahan, saya kini tidak bekerja dan bergantung kepada wang pencen arwah suami saya dan sedikit wang simpanan Tabung Haji untuk keperluan diri sendiri, tanpa ada tanggungan anak dan sebarang komitmen bulanan lain. Selain dari itu, saya juga mempunyai wang simpanan KWSP (simpanan Shariah) kurang dari RM200,000.00 setakat hari ini dan bercadang untuk turut membuat pembersihan harta / wang tersebut setelah dibenarkan untuk membuat pengeluaran sepenuhnya pada umur 55 tahun kelak.

 

Mohon pencerahan terperinci dari Tuan Mufti.

 

Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Kesedaran dan keinsafan pihak puan terhadap kesalahan yang dilakukan adalah sifat yang terpuji. Semoga Allah SWT menerima taubat puan dan diampun segala dosa. 

Secara umumnya, bekerja sebagai "debt collector" atau pemungut hutang bagi pihak pemberi hutang seperti bank adalah diharuskan. Berdasarkan kenyataan yang diberikan, portfolio pekerjaan puan adalah hampir sama di antara kovensional dan islamik. Oleh itu, boleh dianggap bahawa separuh daripada gaji bulanan yang diterima adalah diharuskan dan separuh daripadanya adalah tidak patuh syariah. Begitu wang 'incentive' yang diterima daripada pengstukturan semula pinjaman yang melibatkan riba sahaja dianggap sebagai tidak patuh syariah. Manakala wang 'incentive' daripada pengstukrutan semula pembiayaan islamik adalah diharuskan. Ini bermakna tidak semua gaji mahupun wang 'incentive' yang diterima tidak patuh syariah. Bagi memudahkan pengiraan, dianggap bahawa hasil pendapatan adalah 50% adalah halal dan 50% adalah tidak patuh syariah.

Menjawab soalan yang diajukan:

1. Hasil daripada jualan rumah bukanlah sepenuhnya dari sumber yang tidak patuh syariah. Oleh itu, harus bagi puan untuk memanfaatkan wang tersebut selepas ditolak sumber kewangan yang tidak patuh syariah.

2. Hasil daripada jualan rumah tersebut hendaklah ditolak dengan sumber yang tidak patuh syariah:

3% deposit, 9.900 /2 = 4,950

Legal fee, 7,000 /2 = 3,500

Bayaran bulanan, RM129,000 /2 = 64,500

Jumlah keseluruhan modal, 23,100 + 9,900 + 7,000 + 129,000 = 169,000

Jumlah keseluruhan wang tidak patuh syariah: 4,950 + 3,500 + 64,500 = 72,950. (43% daripada keseluruhan modal)

Jumlah keseluruhan modal yang halal, 23,100 + 72,950 = 96,050 (57% daripada keseluruhan modal)

Oleh itu, hasil tidak patuh syariah yang perlu dibersihkan adalah 43% daripada 108,000 = RM46,440

3. Diharuskan mengambil modal deposit 7% sebanyak 23,100 yang diambil dari simpanan KWSP.

4. Perlu salurkan ke Baitulmal dan pada kadar RM46,440. 

  • Tidak wajib menyerahkannya kepada Baitulmal seandainya wang itu telah dibelanjakan.

  • Memadai dengan istighfar dan bertaubat.

  • Namun sekiranya mempunyai kemampuan, diharuskan untuk menggantikannya walaupun secara beransur-ansur kepada phak Baitulmal.

5. Adakah status wang hasil sewa rumah sebelum jualan dianggap sebagai syubhah?

  • Ya, sebahagiannya kerana modal rumah datang dari campuran halal & syubhah.

  • Separuh daripadnya adalah halal dan separuh daripadanya adalah tidak patuh syariah.

6. Adakah wajib ganti semula wang sewa RM72,000 yang telah dibelanjakan?

  • Tidak wajib ganti semula, iaitu separuh daripada hasil sewaan, kerana wang itu sudah digunakan. 

  • Memadai dengan istighfar dan bertaubat.

  • Namun sekiranya mempunyai kemampuan, diharuskan untuk menggantikannya walaupun secara beransur-ansur kepada phak Baitulmal.

7. Adakah Wajib ganti semula wang gaji & insentif RM400,000 yang telah dibelanjakan?

  • Sama prinsip dengan hasil wang sewaan di atas.

Disarankan agar puan terus bertaubat dan memperbanyakan melakukan amalan soleh untuk mendapatkan keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                   


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 22

message user image