Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Beberapa hari lepas saya ada bertengkar dengan suami saya dan dia berkata "kalau nak balik rumah kau, kau balik" kepada saya. Saya sudah tanya kepada suami saya ada niat untuk bercerai atau tidak masa lafazkan. Suami saya cakap tidak. Mohon pencerahan adakah itu talak kinayah
Jawapan
Menjawab persoalan puan di atas:
Lafaz suami "kalau nak balik rumah kau, kau balik" ia adalah merupakan ucapan kinayah atau kiasan, perkataan tersebut boleh membawa pelbagai maksud yang lain selain talak, mungkin boleh membawa maksud balik ke rumah keluarga isteri untuk bertenang, atau sebagainya. Oleh yang demikian jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka berlaku talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Puan boleh mengajukan perkara ini kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah tempat di mana puan tinggal untuk mendapatkan pandangan serta penjelasan lanjut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.