BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt tuan mufti,

Saya ada pertanyaan berkenaan status penceraian antara saya dan suami kerana saya takut melanggar hukum Allah dan suami adalah seorang yang kurang pandai dalam ilmu agama.

Pada 31/10/2025 yang lepas, saya dengan suami bertengkar melalui panggilan telefon kerana suami telah meninggalkan saya bersendirian di rumah bersama anak yang berusia 1 tahun yang sedang sakit. Saya telah menelefon suami berkali-kali tetapi dia tidak menjawab panggilan saya, dan tidak membalas mesej saya. Dalam keadaan tertekan saya telah keluar rumah mencari suami bersama anak pada pukul 1 pagi. Setiba saya di hadapan rumah kawan suami tetapi masih di dalam kereta, suami saya telah menelefon saya dan kami telah bertengkar. Suami saya dalam keadaan yang sangat marah telah melafazkan "kau cabar aku ke? Aku ceraikan kau dengan talak satu." Kemudian diikuti dengan ayat "Aku ceraikan kau. Aku ceraikan kau." Hanya kami berdua yang mendengar lafaz tersebut tanpa saksi lain. Kemudian saya pitam kerana terkejut dengan lafaz talak yang dia keluarkan itu. Usai saya sedar dari pengsan, suami saya telah memohon maaf dan berkata dia terlalu marah ketika itu dan tidak berniat langsung untuk menceraikan saya. Dan sekiranya betul talak telah jatuh dia berniat untuk rujuk kembali dengan saya. Suami telah ajak saya bersama kerana telah lafaz rujuk pada saya.

Soalan saya adalah,

1. Adakah jatuh talak kepada saya atas lafaz-lafaz tanpa niat suami saya itu? 
2. Sekiranya jatuh talak berapa talakkah yang jatuh? dan adakah suami saya boleh rujuk kembali dengan saya dengan talak yang jatuh tersebut?

3. Apakah yang perlu kami lakukan sementara dalam tempoh iddah saya ini sementara menunggu panggilan bicara mahkamah?

Sekian soalan dari saya, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, oleh kerana perkara ini telah dikemukakan ke pihak Mahkamah Syariah dan sedang menunggu panggilan perbicaraan, maka pasangan perlu menunggu keputusan daripada Hakim Syarie dalam perbicaraan tersebut. 

1. Jika berdasarkan kepada ayat yang dilafaz oleh suami iaitu: "kau cabar aku ke? Aku ceraikan kau dengan talak satu." Kemudian diikuti dengan ayat "Aku ceraikan kau. Aku ceraikan kau." ketiga-tiga ayat tersebut dilafaz secara sorih (jelas) bukan kiasan atau seumpamanya. Justeru, lafaz cerai secara sorih ini boleh menyebabkan jatuh talak ke atas isteri walaupun suami tidak berniat cerai. Sebab itu ia tidak boleh dilafaz secara sewenang-wenangnya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA :

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).

(Riwayat Abu Daud)

2. Berapa jumlah talak yang jatuh tertaluk kepada perbicaraan dan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Mahkamah Syariah.

3. Sebagai langkah berjaga-jaga, sementara menunggu tarikh perbicaraan, hendaklah beraggapan bahawa talak berlaku. Dalam tempoh iddah, adalah menjadi tanggungjawab bekas suami untuk menyediakan tempat tinggal untuk bekas isterinya beriddah, sama ada dengan membenarkannya tinggal di rumah tempat kebiasaan mereka tinggal semasa suami isteri, atau menyediakan tempat tinggal lain yang bersesuaiannya dengannya.

Berdasarkan pendapat muktamad mazhab Syafie, tidak boleh bagi bekas suami untuk melihat aurat bekas isteri atau tinggal bersamanya di dalam rumah iddah berkenaan, sama ada talak raj`ie atau talak ba’in. Haram bagi suami untuk masuk ke rumah tempat isterinya beriddah kerana membawa kepada khalwat dan mengganggunya.

Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ajnabi (asing) kepada bekas suami itu. Inilah pendapat muktamad seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam Raudhah al-Talibin 

Adapun sekiranya terdapat mahram, kepada bekas isteri atau suami, sama ada lelaki dan wanita, atau wanita ajnabi, yang boleh menghalang daripada berlaku khalwat dan masing-masing tinggal di bilik atau tingkat berasingan, maka dibenarkan kepada bekas suami itu tinggal bersama dan masuk ke rumah iddah. Walau bagaimanapun hukumnya adalah makruh.

Sila minta nasihat daripada Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat apa yang perlukan sekiranya suami ingin kembali semula atau rujuk, sekiranya talak yang jatuh 1 atau 2. Ini adalah kerana rujuk diharuskan selagi isteri masih di dalam tempoh iddah. Walau bagaimanapun sekiranya talak yang jatuh adalah 3, maka suami perlu melakukan akad nikah yang baharu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 30

message user image