Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.,
Saya telah bernazar untuk bersedekah kepada orang miskin sekiranya apa yang saya hajatkan tercapai. Bolehkah saya bersedekah kepada ahli keluarga saya?
Untuk makluman, ayah saya seorang OKU yang telah dipotong jari kaki dan sudah tidak bekerja selama hampir 2 tahun jadi tiada income. Dia juga tidak mempunyai simpanan wang dan selama ini hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Manakala ibu saya warga emas sudah berpuluh tahun tidak bekerja dan tidak mempunyai simpanan tetap kecuali wang bulanan yang diberi oleh saya dan adik saya kepada mereka berdua.
Manakala makcik saya selama beberapa tahun tidak bekerja kerana menjaga nenek saya tetapi diberi wang ehsan oleh ahli keluarga setiap bulan. Tetapi sekarang dia sudah bekerja kerana nenek saya telah meninggal dunia tetapi hanya cukup makan untuk seorang diri kerana dia tinggal sebatang kara, tidak pernah berkahwin. Jadi bolehkah saya bersedekah kepada mereka atas nazar saya?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak ataupun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.
Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, nazar sedekah kepada orang miskin hendaklah ditunaikan dengan memberi kepada golongan yang benar-benar memenuhi syarat fakir atau miskin. Dalam hal ini, para ulama menjelaskan bahawa jika ahli keluarga termasuk dalam kategori miskin iaitu tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk keperluan asas hidup maka mereka termasuk dalam golongan yang berhak menerima sedekah nazar. Bahkan, memberi sedekah kepada ahli keluarga yang miskin lebih utama kerana ia menghimpunkan dua kebaikan iaitu menunaikan nazar dan menghubungkan silaturahim.
Sekian, terima kasih.