Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz saya ada 2 soalan
1) masa sekolah saya cuba untuk tambah amalan sunat dari tahun ke tahun, dan ia telah menjadi habit. Cuma, sekarang bila sudah bekerja saya sukar untuk teruskan amalan itu dan saya waswas sama ada amalan tersebut merupakan perkara saya nazarkan dulu membuatkan saya lakukannya hari hari atau ia merupakan azam seperti azam tahun baru sahaja.
Saya ragu ragu, sama ada segala amalan tu merupakan sesuatu saya nazarkan atau tidak. Jadi untuk keluar khilaf dan batalkan nazar, saya mahu bayar kafarrah.
tapi saya nak tanya, kadar kafarrah itu adakah 1 jenis nazar bersamaan 1 kafarrah. Atau memandangkan saya dulu lakukan amalan tu hari hari, jadi adakah saya perlu bayar kafarrah hari hari untuk semua amalan itu? (I.e kalau ada 5 amalan, perlu bayar 5 kafarrah hari hari sampai meninggal) ia agak berat jika saya kena bayar hari hari
2) adakah wanita berkahwin wajib menyucikan faraj dan dubur secara meruang (masukkan sedikit jari dalam faraj untuk penyucian - untuk pastikan benar benar bersih) terutamanya jika dia sejenis selalu ada keputihan?
Tapi cara basuhan itu akan batalkan puasa? Atau wajib meruang pada hari bukan puasa dan basuh zahir sahaja pada hari puasa?
Bolehkah saya basuh zahir sahaja pada hari puasa atau tidak, kerana bimbang jika ia jadi habit dan terbasuh secara meruang ketika puasa.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
1) Jika berlaku kesamaran di antara azam dan nazar, maka hukum asalnya tidak dianggap sebagai nazar. Hal ini kerana, nazar memerlukan lafaz yang jelas dan niat khusus untuk menjadikannya wajib ke atas diri sendiri. Justeru puan tidak dikenakan sebarang kaffarah kerana tidak berlaku sebarang pelanggaran nazar.
2) Islam hanya mewajibkan pembersihan pada bahagian zahir faraj manakala bahagian batin tidak perlu dibersihkan kecuali dalam keadaan tertentu seperti mandi junub. Menurut mazhab Shafi’i, faraj wanita mempunyai had zahir dan batin. Perkara ini dijelaskan di dalam kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab seperti berikut:
Maksudnya: Wanita yang beristinjak untuk mengharuskan mandi wajib perlu membersihkan bahagian yang wajib dikenakan air semasa mandi junub iaitu bahagian yang kelihatan ketika duduk mencangkung walaupun bahagian tersebut tidak kelihatan ketika berdiri. Ulama mazhab Shafi‘i menjelaskan bahawa bahagian yang terletak lebih dalam daripada kawasan tersebut dianggap sebagai bahagian batin (dalaman) yang tidak diwajibkan untuk dikenakan air atau dibersihkan dengan batu ketika beristinjak. Justeru, jika sesuatu masuk ke dalam bahagian batin tersebut, maka puasa akan terbatal.
Justeru, meruang dengan memasukkan jari atau objek ke dalam faraj ketika berpuasa adalah dilarang kerana perbuatan tersebut boleh membatalkan puasa. Dari sudut perubatan pula, meruang juga tidak digalakkan kerana boleh mengganggu keseimbangan pH, mikroflora semula jadi serta meningkatkan risiko jangkitan dan penyakit. Oleh itu, wanita yang berpuasa memadai menjaga kebersihan dengan mencuci bahagian luar faraj sahaja dan mengelakkan amalan meruang bagi memastikan ibadah puasa kekal sah serta kesihatan terpelihara.
Sekian, terima kasih.