BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum

Saya nak tanya mengenai hukum was was najis mughallazah

Apakah hukum jika saya dalam keadaan ragu-ragu ,was-was dan tidak pasti sama ada terkena najis mughallazah di bahagian anggota badan dan pakaian saya termasuklah di kawasan rumah saya adakah saya perlu sertu di tempat yang saya rasa yakin dan tak yakin terkena najis tersebut kerana perasaan yang saya rasai adalah sama berat dan kadang - kadang saya cuai dan tidak perasan sama ada ia kena ataupun tidak.

mohon keterangan daripada cik untuk saya memahami dengan lebih dalam apa yang saya rasai kerana ia telah menganggu saya untuk membuat sesuatu perkara dalam harian saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, bersuci dari najis itu wajib apabila diyakini sesuatu itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Namun, sekiranya najis yang terkena pada diri itu berlaku dalam keadaan syak atau was-was, maka ia tidak memberikan apa-apa kesan padanya melainkan setelah diyakini bahawa najis tersebut terkena padanya. Hal ini kerana perkara yang dzan tidak memberi apa-apa kesan terhadap satu keyakinan. Firman Allah SWT di dalam al-Najm ayat 28:

وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: Padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).

Secara tuntasnya, mengikut situasi tuan, perkara tersebut  hanya disyaki sahaja kerana bukan sesuatu benar-benar pasti tanpa melihat dengan mata kepala sendiri bahawa najis tersebut terkena pada anggota badan dan pakaian tuan. Oleh yang  demikian, hendaklah meninggalkan perasaan syak-wasangka tersebut dan mengambil jalan yakin tanpa perlu menyertu. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hamba-Nya daripada syariat yang telah ditetapkan oleh-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 78:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image