Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan berkaitan solat qasar dan jamak. Baru-baru ni saya pergi bercuti selama 2 hari 1 malam. Jarak dari rumah ke tempat penginapan saya tak sampai 81km. Cumanya perjalanan kami pada hari tu ke tempat yang paling jauh dari rumah dah lebih 81km dan kami berpatah balik turun ke tempat penginapan kami. Dalam situasi ni adakah boleh untuk solat jamak dan qasar atau tidak?
Satu lagi untuk perjalanan bermusafir bersama keluarga yang tidak lebih 3 hari, jarak perjalanan sudah lebih 81km dan ada waktu hanya bersantai di dalam homestay. Adakah dibolehkan untuk solat jamak dan qasar? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan bahawa antara syarat yang membolehkan solat jamak dan qasar adalah permusafiran yang melebihi 2 marhalah (81km). Walaupun jarak antara tempat penginapan dengan rumah kurang daripada 81 km, hakikatnya safar asal yang sedang dilalui telah pun memenuhi jarak dua marhalah. Oleh itu, hukum rukhsah musafir tetap berjalan selagi belum berniat bermukim melebihi tempoh yang menggugurkan status musafir.
Maka, diharuskan untuk menunaikan solat jamak dan qasar di rumah penginapan tersebut kerana ukuran yang diambil kira bukan jarak antara titik A ke B pada hari itu, tetapi jumlah perjalanan keseluruhan yang telah menjadikan seseorang itu musafir sejak awal permusafiran.
Manakala, bagi persoalan kedua, dibolehkan solat jamak dan qasar kerana berniat menetap tidak melebihi 4 hari dan perjalanan melebihi 81km.
Sekian, terima kasih.