Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya seorang isteri yang masih bekerja sementara suami tidak bekerja dan hanya duduk rumah. Urusan rumah tangga semua anak2 yang seramai 5 orang yang buat, memasak saya yang buat sebelum dan selepas kerja. Suami hanya duduk rumah.
Baru-baru ini saya dan suami bergaduh dan menuduh saya balik lewat kerana ada hubungan dengan lelaki lain. Sedangkan saya hanya pergi bekerja dan mengambil overtime untuk mencari duit tambahan. Sekarang dia berkata kalau saya keluar kerja besok (iaitu hari sabtu dan di kira overtime), akan jatuh cerai. Suami juga selalu kata saya melawan kata-kata dia dan saya cepat-cepat meminta maaf sekiranya apa yang saya kata atau buat dia tak suka atau marah.
Soalan saya, akan jatuh ke talak kalau saya masih keluar kerja besok dengan niat untuk mencari duit tambahan. Gaji pokok sahaja tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga. Kalau saya tidak keluar kerja besok, bagaimana dengan hari-hari seterusnya sekiranya dia masih tidak mengizinkan saya keluar bekerja. Mata pencarian utama keluarga akan terjejas Dan mungkin saya akan diberhentikan kerja. Apa yang boleh saya buat dalam situasi ini.
Jawapan
Berdasarkan kepada kenyataan puan iaitu: "Sekarang dia berkata kalau saya keluar kerja besok (iaitu hari sabtu dan di kira overtime), akan jatuh cerai" boleh dikategorikan sebagai lafaz cerai secara taklik. Maksudnya, lafaz taklik tersebut terpakai sehingga esok (Sabtu) sahaja. Jika puan keluar pada esok, maka jatuhlah talak ke atas puan. Adapun, jika puan tidak keluar esok maka talak tidak jatuh. Walau bagaimanapun, puan boleh kemukakan perkara ini ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk pengesahan. Hanya pihak mahkamah sahaja yang boleh mengesahkan perkara tersebut.
Dalam perkahwinan, adalah menjadi kewajipan suami menyediakan nafkah dan menanggung isteri serta anak-anak. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 34:
Maksudnya : Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
Dalam situasi ini, puan ada pilihan untuk membuat keputusan. Antara suami yang tidak bekerja dan pekerjaan yang puan ada, yang mana menjadi pilihan puan untuk kelangsungan hidup. Adalah tidak wajar jika suami melepaskan semua tanggungjawab perbelanjaan keluarga kepada isteri semata-mata sedangkan suami tidak bekerja menyara dan mengurus keluarganya sendiri.
Sekiranya situasi ini berpanjangan, puan boleh dapatkan khidmat nasihat kekeluargaan di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal.
Sekian, terima kasih.