BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya tentang Solat Jamak. Sekiranya saya dari Seremban pergi ke Batu Pahat selama 6 hari. Pada hari yang ketiga saya meneruskan perjalanan ke Johor Baharu (melebihi 2 marhalah dari Batu Pahat) tetapi tidak bermalam dan pulang semula ke Batu Pahat. Adakah saya masih dikira bermusafir dan dibolehkan jamak?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya seseorang yang bermusafir diberikan rukhsah (keringanan) untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar sekiranya memenuhi dua syarat utama:

  1. Jarak perjalanan melebihi dua marhalah, iaitu kira-kira 81 kilometer; dan
  2. Tujuan permusafiran adalah urusan yang diharuskan oleh syarak, bukan bertujuan maksiat.

Selain itu, seseorang yang bermusafir hanya dibenarkan melaksanakan solat jamak dan qasar sekiranya tidak berniat menetap di sesuatu tempat selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju tidak termasuk hari tiba dan hari keluar dari tempat tersebut.

Berdasarkan situasi yang dinyatakan, jika telah ada niat untuk bermukim atau menetap selama enam hari di hotel yang sama (Batu Pahat), maka rukhsah jamak dan qasar tidak lagi dibolehkan, dan solat hendaklah ditunaikan secara tamam iaitu sempurna empat rakaat sepanjang tempoh tersebut.

Namun begitu, jika pada hari ketiga berlaku satu permusafiran baharu yang jaraknya melebihi dua marhalah, maka dalam tempoh perjalanan itu sahaja diharuskan melaksanakan solat jamak dan qasar.

Sekiranya pula pada hari ketiga berpindah ke hotel lain yang jaraknya melebihi dua marhalah daripada lokasi asal, maka keadaan itu dikira sebagai permusafiran baharu, dan diharuskan untuk menunaikan solat jamak dan qasar sepanjang tempoh enam hari di lokasi baharu tersebut, selagi mana tidak berniat menetap lebih daripada empat hari di situ.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image