BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُه

Saya di sini ingin kemukakan beberapa soalan bagi pihak seseorang dan beliau memerlukan jawapan dengan kadar segera (situasi sedang berlaku)

 

1. Adakah sah lafaz taklik jika isteri yang melafazkan dan pihak suami bersetuju atas taklik yang dilafazkan oleh isteri?

Lafaz taklik yang dibuat isteri : Jika kau berlaku curang,  maka kita jatuh talak

Jawapan suami : Okay setuju

2. Jika pihak suami melakukan perbuatan curang selepas lafaz taklik itu (mencium wanita lain bukan ajnabi), jatuh talak atau tidak?

3. Jika perbuatan curang itu berlaku sebanyak 3 kali, adakah jatuh sebagai talak 3? 

4. Jika talak itu sah, apakah tindakan yang perlu diambil?

 

Terima kasih. Harap maklumbalas dari pihak tuan/puan. Kerjasama tuan/puan amat dihargai. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Jawapan "ya" suami kepada lafaz taklik talak yang dibacakan oleh isteri: "Jika kau berlaku curang, maka kita jatuh talak", boleh menyebabkan berlakunya taklik talak.

Walau bagaimanapun, pihak yang berbidang kuasa di dalam menentukan sah atau tidak suatu lafaz talak atau taklik talak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disarankan agar perkara ini dilaporkan kepada pihak Mahkamah Syariah yang terdekat dalam kadar yang segera.

2. ٍSekiranya perbuatan suami itu dianggap curang sebagaimana yang dimaksudkan di dalam lafaz taklik talak, maka talak boleh berlaku.

3. Talak tidak berlaku atau berulang setiap kali berlaku atau berulang syarat yang dinyatakan melainkan sekiranya dinyatakan secara jelas di dalam lafaz taklik talak perkataan: setiap kali berlaku, maka jatuhlah talak. Jika tidak terdapat kenyataan seperti itu, maka talak hanya berlaku sekali walaupun syarat itu berlaku beberapa kali.

4.  Tuan boleh melaporkan perkara tersebut kepada pihak Mahkamah Syariah terdekat, atau adukan terlebih dahulu kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah berhampiran untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image