BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

1. Tahun lepas, saya mengalami satu keadaan di mana terlintas dalam fikiran tentang lafaz tal**. Dalam keadaan bersendirian di dalam tandas (isteri tiada di rumah), saya seperti terlafaz sesuatu. Namun, saya tidak pasti sama ada benar-benar menyebut lafaz itu, atau sekadar lintasan hati. Saya juga tidak ingat dengan jelas sama ada saya ada menyebut nama isteri, atau menyebut lafaz tal** dalam bentuk tal** 1 atau tal** 3. Semakin saya cuba mengingati, semakin saya ragu sama ada lafaz itu benar-benar terkeluar dengan suara, atau hanya lintasan fikiran semata-mata.

Saya juga pernah membuat pengesahan di Mahkamah Syariah, namun bimbang kalau-kalau saya tidak jujur ketika itu. Keputusan mahkamah adalah tidak sabit tal** kerana kurang keyakinan dengan lafaz tersebut. Walaupun begitu, saya tetap berasa gelisah hingga sekarang.

2. Pada suatu hari, saya terbayang kehidupan sekiranya "perkara" itu benar-benar berlaku, lalu saya bermonolog: “Goodbye” (disebut bersama nama isteri). Selepas itu saya mula ragu-ragu, adakah perkataan ini boleh dikira sebagai lafaz tal** atau tidak.

3. Disebabkan ketakutan dan waswas mengenai perkara ini, saya menjadi semakin bimbang. Akhirnya saya meluahkan kepada isteri dengan berkata: “You get to decide, and tell me if you’re tired of me.” Dalam hati saya ketika kata begini, saya terfikir mungkin isteri boleh buat apa-apa tindakan (seperti permohonan di mahkamah) agar dapat hilangkan was was ini cuma bimbang ia dikira niat yang boleh jatuh.

Soalan :

a. Apa yang perlu saya lakukan sekiranya masih takut dan ragu-ragu, terutama kerana saya berasa seolah-olah tidak jujur dalam perkara nombor 1?

b. Apa hukum berkata “Goodbye + nama isteri” sebagai monolog?

c. Apa hukum berkata “You get to decide, and tell me if you’re tired of me”?

(Saya harap pertanyaan ini disulitkan/tidak tersebar. Maafkan saya, terima kasih. Assalamualaikum)


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan :

a) Perasaan tidak tenang, was‑was atau fikiran yang kerap memikirkan sama ada talak jatuh atau tidak bukanlah tanda bahawa talak itu jatuh atau memang berlaku.

Dalam menjawab persoalan rasa takut dan ragu-ragu, terutama kerana tuan merasa seolah-olah tidak jujur semasa perbicaraan di mahkamah tempohari, maka dalam fiqh, jika mahkamah telah memutuskan talak tidak jatuh atau sabit, maka kedudukan itu kekal sebagai perkahwinan yang sah, walaupun kemudiannya tuan diganggu was was dan ragu-ragu.

b) Lafaz “Goodbye” bukan lafaz talak sorih (jelas) kerana tidak membawa maksud talak secara langsung. Ia hanya maksud berpisah secara umum. Dalam situasi yang tuan hadapi, tuan hanya membayangkan seandainya benar-benar berlaku talak, tetapi pada hakikatnya talak itu tidak berlaku dan mahkamah juga telah mengesahkan talak tidak jatuh atau sabit dan seandainya monolog tuan itu dalam hati atau menyebut sendiri tanpa tujuan menceraikan isteri maka ia tidak menyebabkan talak jatuh.

c) Situasi ketiga ini pula adalah ayat yang termasuk dalam kategori khabari iaitu penyataan tentang apa yang akan dilakukan atau bentuk cadangan, bukan sebagai pelaksanaan talak itu sendiri, tetapi sekadar menyatakan kalau isteri sudah penat hidup bersama suaminya, maka buatlah keputusan yang terbaik. Kata-kata ini adalah bentuk cadangan atau pandangan dengan memberi ruang atau pilihan kepada isteri untuk meluahkan perasaan atau membuat keputusan melalui saluran lain contohnya, perbincangan atau mahkamah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 39

message user image