BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah. Saya ada pertanyaan dan perlukan pendapat ataupun nasihat. Apa yang saya perlu buat apabila dapat tahu suami telah bersekedudukan dengan kekasihnya yang juga merupakan seorang guru di salah sebuah sek ren agama di Selangor?. Saya percaya mereka telah bersama kerana setiap kali suami offday, dia akan menghilang dengan alasan pergi memancing. Tapi selama ni saya tiada bukti. Sehinggakan saya terjumpa conversation mereka yang mana perempuan teesebut meminta suami untuk datang tidur di rumahnya kerana dia merasa sedih. Lepas pada itu saya terjumpa lagi conversation yang mana perempuan tersebut menunjukkan gambar daripada bahagian perut ke bawah tanpa berbaju sebab bagitahu suami perut dia sakit. Keluarga suami juga telah mengetahui tentang kewujudan perempuan tersebut dan nampaknya ibu mertua tiada halangan cuma dia sebolehnya taknak suami berpoligami. Sebab saya ada terbaca conversation antara perempuan tersebut dan ibu mertua yang mengatakan untuk apa simpan saya lagi, hantar jela balik ke rumah ibu saya. Tapi ibu mertua tidak mengetahui bahawa suami dan perempuan tersebut telah terlanjur. Saya ada memberitahu hal ini kepada ibu saya, tetapi nampaknya ibu saya lebih pada meminta saya untuk terus bertahan. Ini kerana memikirkan anak² seramai 5 orang yang masih kecil dan saya langsung tidak bekerja. Suami pula pendapatan memang kalau diikutkan tidak mampu untuk berpoligami dengan komitmen dan hutang yang banyak setiap bulan. Tapi untuk teruskan hubungan kami pun saya langsung tiada nampak akan bertambah baik. Kami sekarang sudah lama tidak bersama sebagai suami isteri. Sebab suami banyak kali menyatakan bahawa dia telah tawar hati dan hanya menganggap saya sebagai ibu kepada anak²nya. Tapi dalam masa sama, dia masih tiada beri saya kata putus. Apa yang saya perlu buat, adakah saya perlu memejamkan mata buat tidak tahu tentang suami yang terang² berzina? Saya nak bertanya terus terang tapi saya tak ada kekuatan. Sebab bukti yang saya jumpa itu pun saya dapat secara curi² di hp suami sewaktu dia tidur. Saya dah tak mampu nak teruskan perkahwinan ini lagi, tapi dalam masa sama keluarga saya asyik suruh saya bertahan juga. Saya harap sangat dengan pertanyaan ini saya boleh dapat sedikit nasihat untuk saya buat keputusan seterusnya.. Harap soalan saya ini mendapat maklum balas dari ustaz/ustazah. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam Islam, perkahwinan dibina atas mawaddah (kasih), rahmah (kasihan belas) dan amanah. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ar Rum ayat ke 21 :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran) Allah ialah Dia menciptakan untuk kamu pasangan daripada jenis kamu sendiri supaya kamu berasa tenteram kepadanya; dan Dia menjadikan di antara kamu perasaan kasih (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah).”

Ayat ini menjadi asas bahawa perkahwinan adalah ikatan mawaddah dan rahmah, bukan sekadar fizikal atau kontrak. Apabila mana-mana pasangan mengkhianati amanah (seperti berzina atau curang), maka asas mawaddah dan rahmah itu telah runtuh. Bila kasih sayang dan ihsan runtuh atau hilang, maka akan ada pihak yang akan menderita dan teraniaya. Lantaran itu Islam tidak memaksa pihak yang teraniaya terus hidup dalam penderitaan dan tekanan.

Dalam merungkai aduan puan, sekiranya benarlah aduan puan ini, maka dalam Islam puan diberi beberapa pilihan atau jalan yang puan boleh pilih :

a) Berbincang dengan cara yang baik atau musyawwarah
Jika isteri mempunyai kemampuan serta kekuatan bolehlah isteri berbicara dengan suami secara tenang tanpa menuduh, tetapi untuk tahu ke mana arah perkahwinan ini. Sama ada masih mampu untuk dipertahankan atau sebaliknya.

b) Jika tidak mampu berbincang (kerana takut atau trauma)

Puan boleh menggunakan bantuan pihak ketiga seperti :

  •      Kaunselor keluarga Islam atau Pegawai Khidmat Nasihat, Unit Undang-Undang Keluarga di mana-mana Pejabat Agam Islam Daerah yang berhampiran, atau
  •      Mana-mana individu yang suami hormati sebagai orang tengah, atau
  •      Mahkamah Syariah, jika suami tidak berubah, tidak menunaikan nafkah, atau mengabaikan hak zahir dan batin, maka puan berhak menuntut fasakh (pembubaran perkahwinan oleh hakim) atau khuluk (tebus talak dengan persetujuan). Tindakan ini bukan bermaksud isteri itu “derhaka” atau “tidak menghormati rumah tangga”  tetapi ia adalah hak yang Islam berikan untuk mengelak kezaliman terus berlaku.

Sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA : 

أنَّ امرأةَ ثابتِ بنِ قيسٍ أتتِ النبيَّ صلى الله عليه وسلم فقالتْ: يا رسولَ اللهِ، ما أعتِبُ على ثابتٍ في دِينٍ ولا خُلُقٍ، ولكني أكرهُ الكفرَ في الإسلامِ، فقال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: أتردِّين عليه حديقتَه؟ قالتْ: نعم، فقال: اقبلِ الحديقةَ وفارِقْها

Maksudnya: Seorang isteri kepada Thabit bin Qais datang menemui Nabi SAW lalu berkata :Wahai Rasulullah, aku tidak mencela Thabit dari segi agama dan akhlaknya, tetapi aku tidak sanggup lagi hidup bersamanya (takut aku kufur terhadap nikmat Allah dalam Islam).” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu sanggup memulangkan kebunnya (yang dijadikan mahar) kepadanya?”
Dia menjawab: “Ya.” Lalu Baginda bersabda kepada Thabit : “Terimalah kebun itu dan ceraikanlah dia.” (Riwayat al Bukhari)

Apa yang dapat difahami dari hadis ini :

a) Isteri boleh memohon cerai (khuluk) walaupun suaminya tidak zalim, asalkan dia tidak lagi mampu meneruskan kehidupan dengan tenang.

b) Rasulullah SAW tidak memaksa wanita itu bertahan, sebaliknya mengiktiraf perasaannya dan memberikan jalan keluar yang adil dan terhormat.

c) Hadis ini menjadi dalil kuat bahawa Islam tidak memaksa wanita hidup dalam penderitaan, bahkan memberi hak untuk membebaskan diri melalui khuluk iaitu isteri menebus diri dengan memulangkan mahar.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 35

message user image