BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/ puan .
 

1. Berlaku pertengkaran antara saya dan suami. Suami telah menyebut 'Aku ceraikan kau tahulah!' Saya tanya niat suami, suami bermaksud 'tahulah nanti!' suami beritahu cuma niat nak ugut dan memberi ancaman kepada saya. Bagaimana status lafaz ini?

2. Suami pandu kereta hampir terkena saya lalu saya marah dan berkata report polis nanti. Suami membalas 'Reportlah aku ceraikan kau'. Saya tanya niat suami, suami berkata nak ugut, kalau saya report baru suami akan ceraikan, tapi pada ketika itu saya tidak pergi. Bagaimana dengan status lafaz ni? Mohon pencerahan. Terima kasih atas penjelasan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, 

1. Ayat yang dilafaz oleh suami iaitu: 'Aku ceraikan kau tahulah!' boleh dikategorikan sebagai ayat khabari atau pemberitahuan. Maksudnya, suami memberitahu atau memaklumkan kepada isteri kalau isteri itu kena cerai barulah dia tahu.

2. Manakala ayat: 'Reportlah aku ceraikan kau', sebagaimana yang dijelaskan oleh suami, adalah amaran sekiranya isteri membuat laporan kepada polis, suami akan ceraikan isteri. Sekiranya isteri benar-benar membuat laporan polis, dan suami hendak menceraikan isteri, maka suami perlu melafazkan talak kepada isteri. Lafaz itu tidak membawa kepada taklik talak. 

Untuk mendapatkan kepastian, disarankan untuk rujuk kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 32

message user image