Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti.
Semoga Tuan Mufti & warga mufti Selangor Dalam keadaan Sihat. Disini saya ingin bertanya tentang jawapan yang telah diberikan oleh pihak Tuan Mufti tentang riba pada tarikh 13/8/2025. Cuma di sini terdapat kekeliruan dengan jawapan dari pihak mufti.
Ringkasan jawapan dari pihak mufti :
pertama :
Contoh: Pihak bank memberi pinjaman kepada pelanggan RM100 ribu untuk harga sebuah kereta. Pihak bank mensyaratkan bahawa pelanggan perlu memulangkan sebanyak RM120 ribu kepada pihak bank. Lebihan RM20 ribu itu adalah riba.
Manakala bagi perbankan Islam, mereka menawarkan pembiayaan secara jual beli. Iaitu pihak bank akan membeli kereta tersebut dengan harga RM100 ribu dan menjualnya kepada pelanggan dengan harga RM120 ribu. Lebihan RM20 ribu itu adalah keuntungan daripada jual beli tersebut yang diharuskan di dalam Islam. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Kedua :
Berkaitan akad sewa beli, secara umumnya majoriti fuqaha mazhab Syafi‘i, Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak membenarkan menggabungkan akad sewa dan jual beli dalam satu kontrak serentak kerana ia termasuk dalam larangan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Rasulullah ﷺ melarang dua jual beli dalam satu jual beli. (Riwayat an-Nasa'i)
Namun, syarak membenarkan pelaksanaan akad ini dengan syarat akad sewaan atau ijarahdilaksanakan terlebih dahulu bagi tempoh yang telah dipersetujui. Setelah tempoh sewaan berakhir, akad jual beli yang baharu hendaklah dibuat dengan harga yang telah ditetapkan. Kaedah ini diamalkan dalam produk kewangan Islam di bawah kontrak Ijarah Thumma al-Bay‘ (ITAB), dengan syarat akad sewaan dan akad jual beli tidak digabungkan dalam satu lafaz akad, serta pemindahan hak milik hanya dilakukan melalui akad yang berasingan selepas tempoh sewaan selesai.
Ketiga
Akad pembelian kenderaan yang ditawarkan oleh pihak perbankan Islam kepada pelanggan telah ditetapkan dan dipersetujui oleh Bank Negara Malaysia (BNM) melalui muzakarah atau mesyuarat Majlis Penasihat Syariah BNM yang diperakui tiada unsur riba dan unsur lain yang dilarang Islam. Tiada unsur penindasan dalam perjanjian ini berikutan akad yang dibuat adalah atas persetujuan pihak bank dan pembeli kereta yang perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa persetujuan pembelian kenderaan. Adalah sebaiknya, bagi mengelak berlakunya kelewatan bayar, pembeli boleh mengubah cara bayaran secara automatik melalui potongan debit atau merujuk kepada bank untuk mengelak situasi ini berlaku lagi.
-----------------------------------------------------------------------
Kekeliruan Yang timbul :
untuk jawapan yang pertama, Tuan mufti memberitahu perbankan islam berkonsepkan jual beli, Tapi Kalau tengok kepada website, mereka tulis hire purchase -i.
1. hire purchase i
2. Arif hire purchase i
3. CIMB Islamic Hire Purchase I
Untuk Jawapan yang kedua, para fuqaha mengatakan tidak boleh Ada 2 transaksi pada 1 akad. Tapi Ada perkataan Namun hukum syarak membenarkan.
Adakah ini termasuk kategori pernambahan atau buat benda baru Dalam agama ?
Untuk jawapan yang ketiga, Memang betul dipersetujui oleh pihak bank & pihak pembeli kereta, namun, tidak Semua orang celik dalam membuat keputusan membeli dan hanya mengikut fatwa dari mufti. betul ke tiada penindasan? Jika orang yang beli, hilang perkerjaan dan tak mampu bayar, kereta Akan ditarik & Nama akan disenarai hitamkan (Nama tercemar). Kalau konsep berteraskan Islamic, bukan ke kita digalakkan memberikan kelonggaran kepada peminjam? Seperti ayat al baqarah 280 & Hadith sahih Bukhari.
Al Baqarah 280
If it is difficult for someone to repay a debt, postpone it until a time of ease. And if you waive it as an act of charity, it will be better for you, if only you knew.
Narrated Hudhaifa:
I heard the Prophet saying, "Once a man died and was asked, 'What did you use to say (or do) (in your life time)?' He replied, 'I was a business-man and used to give time to the rich to repay his debt and (used to) deduct part of the debt of the poor.' So he was forgiven (his sins.)" Abu Masud said, "I heard the same (Hadith) from the Prophet."
terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan:
Perbankan Islam menggunakan nama produk pembiayaan seperti hire purchase i, Arif hire purchase i, CIMB Islamic hire purchase i yang merupakan pembiayaan berteraskan Syariah. Namanya sahaja dikomersialkan begitu, tetapi pembiayaan ini menggunakan konsep Ijarah (Sewa) dan diikuti oleh Bai' (Jual) yang juga dikenali sebagai Ijarah Thumma Al-Bai (AITAB). Ia berbeza dengan bank konvensional yang menggunakan pembiayaan sewa beli yang dikenakan caj dan faedah (bercampur riba).
Betul, majoriti fuqaha mazhab Syafi‘i, Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak membenarkan menggabungkan akad sewa dan jual beli dalam satu kontrak serentak kerana ia termasuk dalam larangan hadis seperti yang dijelaskan sebelum ini. Perlu difahami bahawa akad yang dibuat adalah berasingan. Perbankan Islam menggunakan pembiayaan AITAB yang mana di bawah kontrak Ijarah, pelanggan menyewa kenderaan tersebut dari Pemilik/Bank pada harga yang dipersetujui sepanjang tempoh penyewaan. Apabila tamat tempoh sewaan, pelanggan akan memasuki kontrak jualan untuk membeli kenderaan tersebut dari bank pada harga yang ditetapkan. Kaedah ini juga telah dibenarkan dan diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia melalui Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam.
Merujuk kepada ayat al-Quran yang dimaksudkan, Islam memberi kelonggaran atau boleh menangguhkan bayaran hutang kepada individu yang menghadapi kesukaran untuk membayar hutang. Namun begitu, perlu difahami bahawa akad pembiayaan kenderaan adalah kontrak yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak untuk dipatuhi. Jika berlaku tunggakan, pelanggan akan dikenakan caj sebagaimana dipersetujui dalam kontrak. Adalah sebaiknya puan merujuk kepada bank yang membiayai kenderaan puan jika boleh dibuat penstrukturan semula bayaran jika benar-benar mempunyai masalah kewangan supaya dapat mengelak daripada berlaku penarikan kereta seperti dalam kontrak perjanjian. Tambahan pula, dalam perjanjian tersebut juga dimaklumkan bahawa jika pelanggan terus gagal membuat bayaran, pihak bank berhak mengambil semula kenderaan tersebut kerana ia masih milik bank sepanjang tempoh sewaan.
Sekian. Terima kasih.