Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
saya ada terbeli berus badan yg diperbuat daripada khinzir dan baru perasan selepas berbulan menggunakannya. Adakah saya perlu sertu badan saya? Bagaimana dgn rambut dan wajah saya. Saya juga tidak pasti barang apa yg telah bersentuhan dgn berus itu. Jadi mcm mana? Baju2 saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan:
Jika berus tersebut menyentuh badan, rambut atau pakaian dalam keadaan kedua-duanya kering, maka ia tidak dikira najis dan tidak perlu disertu.
Namun, jika sentuhan berlaku dalam keadaan basah atau lembap, maka hanya bahagian yang terkena itu sahaja yang wajib disertu, iaitu dimulai dengan satu basuhan air bercampur tanah, diikuti enam kali basuhan dengan air mutlak.
Sekiranya tidak pasti sama ada ia benar-benar terkena atau tidak, maka hukum kembali kepada asal, iaitu dianggap suci dan tidak wajib sertu.
Kesimpulannya, tidak perlu menyertu seluruh badan atau semua pakaian. Memadai menyertu bahagian yang benar-benar pasti terkena dalam keadaan basah sahaja.
Sekian, terima kasih..