Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya menghadiri satu kuliah yang mengatakan bahawa seorang makmum yg muafik pada awalnya boleh menjadi masbuk dirakaat seterusnya dlm keadaan contohnya imam membaca dgn laju dan makmum tidak sempat menghabiskan fatihah pada rakaat ketiga contohnya sebelum imam rukuk. Didlm keadaan ini makmum dikehendaki rukuk bersama imam tanpa menghabiskan bacaan al fatihah. Jika tidak sempat rukuk dan tomakninah bersama imam, makmum dianggap tidak mendapat rakaat tersebut dan perlu menambah rakaat selepas imam memberi salam. Jika makmum meneruskan bacaan al fatihah sehingga habis, solatnya dianggap batal.
Pemahaman saya selama ini, makmum yg perlu menghabiskan bacaan al fatihah di setiap rakat kecuali yg masbuk pada rakaat pertama makmum.
Mohon perncerahan dalam perkara ini.
Adakah saya perlu mengqada solat saya yg lepas2 jika solat saya dianggap batal.
Terima kasih
Jawapan
Apa yang telah diterangkan dalam ceramah tersebut ada kebenarannya.
Makmum dianggap masbuk sekiranya masa yang makmum ada bersama imam ketika qiyam (berdiri) tidak mencukupi untuk menghabiskan bacaan surah al-Fathihah sehingga imam rukuk. Seseorang makmum boleh menjadi masbuk pada mana-mana rakaat di dalam solat dan tidak hanya pada rakaat yang pertama. Sekiranya perkara ini berlaku, makmum hendaklah terus rukuk bersama imam tanpa menyempurnakan bacaan surah al-Fathihah. Jika makmum sempat rukuk bersama imam pada kadar tomakninah, maka makmum mendapat rakaat tersebut. Namun jika makmum tidak dapat rukuk bersama imam, maka makmum tidak mendapat rakaat tersebut dan perlu menambah rakaat selepas Imam salam.
Jika makmum terus berdiri sehingga imam sujud kedua, makmum mempunyai 2 pilihan. Pertama: berniat mufaraqah daripada iman. Kedua: terus sujud bersama imam, namun makmum tidak mendapat rakaat dan perlu menambah rakaat selepas imam salam.
Sekian, terima kasih.