Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Suami dah melafazkan cerai kepada saya , selepas itu suami saya meminta semula kunci rumah yang saya dan anak menetap selama tempoh perkahwinan , dan berkata hubungi dia jika ingin mengambil barang2 didalam rumah itu, saya menyuarakan kepada suami tentang tempat tinggal selama dalam tempoh eddah , dia ingin memberi duit sebagai ganti untuk pertukaran rumah untuk saya dan ank menetap , soalan saya bolehkah jika dia berbuat demikian ..
Jawapan
Di dalam tempoh iddah, sama ada talak raj'i atau bain, seorang isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah tempat tinggal. Wajib bagi suami menyediakan tempat tinggal kepada isteri yang diceraikan sepanjang tempoh iddah sama ada membiarkan isteri tinggal di rumah yang biasa mereka tinggal atau mendapatkan rumah lain yang sesuai untuk isteri. Diharus bagi isteri, jika bersetuju, untuk menerima pembayaran dalam bentuk wang setimpal dengan sewaan rumah yang layak baginya.
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor memperuntukkan seperti berikut:
72. (1) Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.
(2) Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) akan terhenti -
(a) jika tempoh 'iddah telah tamat;
(b) jika tempoh penjagaan anak telah tamat;
(c) jika perempuan itu telah berkahwin semula; atau
(d) jika perempuan itu tealh bersalah melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka (fahisyah),
dan sesudah itu suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.
Sekian, terima kasih.