Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tn,
Saya agak was-was dengan pakaian-pakaian saya jika terdapat najis kecil atau najis kecil telah berpindah padanya. Oleh itu, jika saya memasukkan kesemua pakaian tersebut ke dalam sebuah baldi, kemudian memasukkan paip getah ke dalamnya, lalu memenuhkan baldi berisi pakaian tersebut dengan air paip sehingga tengelam kesemua pakaian serta air melimpah keluar dari baldi, adakah saya sudah dikira melalukan air pada pakaian tersebut dengan air yang mengalir dan pakaian tersebut dianggap suci? Cara ini merupakan cara yang termudah yang saya dapat fikir untuk lakukan untuk kuantiti pakaian yang agak banyak, kerana saya tidak pasti sekiranya saya boleh membasuh seperti biasa dengan mesin basuh automatik kerana terdapat banyak pandangan, ada yang menganggap jika membasuh dengan mesin basuh automatik, pakaian yang terdapat najis kecil itu masih tidak suci malah pakaian lain juga terkena najis tersebut kerana airnya tidak mengalir dan bertakung meskipun mesin itu mengulangi cycle basuhan beberapa kali. Oleh itu masih perlu dibilas dengan air yang mengalir selepas atau sebelum basuhan dengan mesin basuh auto.
Terima kasih.
Jawapan
Tidak dapat dinafikan bahawa perasaan waswas itu tidak akan terlepas daripada setiap manusia. Ia berpunca daripada mainan syaitan yang selalu membisik serta menghasut dan akan membuatkan hati manusia itu selalu dalam keraguan. Maka kita seharusnya cuba menghilangkan keraguan itu dan membina keyakinan diri dengan pelbagai pendekatan yang telah dianjurkan oleh Islam.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, perbuatan memasukkan semua pakaian ke dalam baldi seterusnya memasukkan getah paip ke dalamnya dan memenuhkan baldi dengan air paip sehingga tenggelam semua pakaian dan melimpah keluar air dari dalam baldi, maka perkara tersebut telah memadai bagi menyucikan sebarang najis pada pakaian iaitu cukup sekadar mengalirkan air mutlak pada pakaian yang terkena najis.
Manakala berkaitan membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.
Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh automatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;
a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.
b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke dalam pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya.
c) Terbukti berlakunya bilangan (adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.
d) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.
e) Dari segi pengesanan zat najis dan jenis kesannya, boleh dipastikan melalui:
i) Kesan najis iaitu bau, warna dan rasa telah hilang sepenuhnya.
ii) Kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya adalah dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah ( kesukaran)
Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan sebagai bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah.
Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas
Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata. Sehubungan itu, baju yang dibasuh bersekali dengan pakaian terkena najis turut bersih dan suci dan boleh dibawa solat.
Walau bagaimanapun, adalah disarankan agar pakaian yang terkena najis dihilangkan atau dibersihkan najisnya terlebih dahulu dan dibasuh dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis. Seterusnya boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh bersama-sama dengan pakaian yang lain. Untuk maklumat lebih lanjut pihak saudara boleh merujuk garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut:
Garis Panduan Penggunaan Mesin Basuh
Sekian, terima kasih.