Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.... Soalan saya berkaitan solat berjemaah.Makmum tak sempat rakaat pertama bersama imam.Pada rakaat terakhir makmum perlu tak duduk tahiyat akhir dan baca tahiyat akhir atau makmum perlu duduk tahiyat awal dan baca tahiyat awal? Pada rakaat kedua makmum perlu tak baca tahiyat awal atau cuma duduk sahaja mengikut imam dan tanpa baca tahiyat awal?mohon beri pencerahan...terima kasih
Jawapan
Menuruti Imam adalah prinsip utama yang wajib dituruti ketika melaksanakan solat secara berjemaah di belakang Imam. Ia merupakan suatu kewajipan selama kita menjadi makmum. Berdasarkan hadis riwayat daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Dijadikan imam adalah untuk diikuti. Jika dia rukuk maka hendaklah kalian rukuk, jika dia i`tidal maka hendaklah kalian i`tidal. (Riwayat al-Bukhari).
Oleh itu, ketika imam duduk tahiyyat akhir, makmum hendaklah duduk bersama imam (seperti duduk tahiyyat awal) dan disunatkan membaca bacaan tahiyyat awal. Begitu juga ketika imam duduk dan membaca bacaan tahiyyat awal, makmum hendaklah turut sama duduk dan disunatkan membaca bacaan tahiyyat awal, walaupun ketika itu makmum bukan berada pada rakaat yang kedua.
Sekian, terima kasih