BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ada soalan, apakah hukum kerja service aircond atau cuci sofa di club. Mohon jawab soalan saya terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Dalam Islam, hukum mencari rezeki yang halal adalah fardhu ain iaitu wajib ke atas setiap individu muslim. Kewajipan ini tidak hanya terhad kepada mencari rezeki semata-mata, tetapi ia mesti diraih melalui cara yang halal untuk menyara keperluan diri sendiri dan tanggungan di bawah jagaannya.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, situasinya adalah merujuk kepada sejauh mana pekerjaan itu terlibat dalam menyokong atau membantu perbuatan maksiat yang berlaku di tempat tersebut.

Memetik daripada firman Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Memberikan khidmat atau service di tempat maksiat dikira sebagai membantu (walaupun secara umum) dalam operasi tempat maksiat atau dosa, ia boleh membawa kepada status hukum makruh tahrim (perbuatan yang sangat tidak disukai dan hampir kepada haram) atau Syubhah (diragui)

Sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat maksiat dan menghindari apa jua pekerjaan yang boleh dikaitkan dengan dosa, walaupun secara tidak langsung. Carilah rezeki yang bukan sahaja halal pada jenis kerjanya, tetapi juga berkat pada sumber, suasana dan persekitarannya.

Kerana rezeki yang halal dan bersih bukan sekadar mengenyangkan perut ia membawa ketenangan, melapangkan hati dan menjadi sebab turunnya keberkatan dalam seluruh kehidupan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 15

message user image