Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, maaf saya ingin bertanya berkaitan hukum. Saya ada bermain kutu secara atas talian, di mana kaedah permainan kutunya adalah mendapat keuntungan daripada penjualan slot/giliran kutu tersebut. Sebagai contoh orang A main kutu dan mendapat giliran ke 10 dengan nilai wang kutu RM1,000, tetapi orang A tersebut perlukan wang awal maka dia akan menjual slot/gilirannya kepada orang B dengan nilai RM 600. Maka orang B akan mendapat keuntungan sebayak RM400.
Berdasarkan contoh yang anda berikan:
Orang A bermain kutu dan mendapat giliran ke-10 bernilai RM1,000.
Orang A perlukan wang tunai segera, jadi dia jual slot/gilirannya kepada orang B dengan harga RM600.
Orang B kemudian akan mendapat keuntungan RM400 apabila giliran itu tiba.
Jadi di sini, apakah hukum dari segi syarak tentang keuntungan yang diperolehi dan adakah terdapat unsur Riba?
Terima kasih.
Jawapan
Dalam Islam permainan 'kutu' boleh dianggap sebagai hutang tanpa faedah yang diharuskan oleh syarak. Allah SWT sendiri telah menggariskan beberapa peraturan yang perlu diikuti apabila seseorang itu menjalankan muamalat hutang seperti permainan kutu. Maka, pada setiap bulan semua ahli yang menyertainya akan membayar pinjaman yang mana duit pinjamannya itu akan kembali kepadanya apabila gilirannya tiba untuk mendapatkan jumlah yang telah dipersetujui bersama. Antara ayat al-Quran yang menyentuh tentang hutang adalah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 11:
Maksudnya: Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.
Haram bermain kutu sekiranya melibatkan Riba’. Riba’ diharamkan kerana berlakunya kezaliman ke atas satu pihak. Sebagai contoh, ibu kutu mengenakan penambahan bayaran di atas kelewatan ahli kumpulan memberi wang kutu.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
Daripada sudut undang-undang yang berkuatkuasa memperuntukkan dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang kutu 1971
(http://www.ssm.com.my/acts/fscommand/ak0028.htm)
bahawa perniagaan wang kutu adalah salah di sisi undang-undang. Menurut Akta 28 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, ia ditafsirkan sebagai:
"Kumpulan wang kutu" ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.”
Haram bermain kutu sekiranya melibatkan Riba’. Riba’ diharamkan kerana berlakunya kezaliman ke atas satu pihak. Sebagai contoh, ibu kutu mengenakan penambahan bayaran di atas kelewatan ahli kumpulan memberi wang kutu. Selain itu, ahli juga dikenakan caj perkhidmatan oleh ibu kutu yang tidak amanah malah membuat penyelewengan wang di dalam permainan kutu ini.
Allah SWT. dan Rasulullah SAW mengharamkan riba kerana lebih banyak mendatangkan keburukan dalam masyarakat. Terdapat ayat al-Quran yang mengharamkan riba serta ancaman kepada yang memakannya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ruum ayat 39:
Maksudnya: Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya).
Dalam persoalan puan, sepatutnya tujuan utama kutu adalah simpanan dan bukannya mengambil keuntungan berlebihan dari kutu ini. Sebaiknya dielakkan kerana ia boleh terjerumus kepada perjudian, riba, penyelewengan dan penipuan (pengagihan tidak adil). Apatah lagi dengan menjual giliran dengan harga yang berbeza daripada persetujuan yang asal. Percaturan seperti ini dinamakan sebagai Riba al Fadhl ( perbezaan nilai RM 600.00 dan RM1,000.00). Untuk itu, bagi orang B yang menerima keuntungan RM400.00 secara percuma itu adalah tidak sah di sisi syarak kerana ia termasuk dalam riba'.
Sekian, terima kasih