Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin bertanya urusan tentang takdir jodoh(kahwin).
Soalan pertama.
Saya ada suka pada seseorang namun begitu saya tidak meluahkan perasaan kerana saya merasakan die bukan jodoh saya. Boleh ke saya menyakini bahawa die mmg bukan jodoh saya berdasarkan penilaian saya semata-mata tanpa istikarah ?
Soalan kedua
setahu saya jodoh telah ditetapkan Allah s.w.t. Persoalannya sekiranya saya tidak mahu dengan gadis A sbb nak gadis B.. Adakah saya akan dengan A jugak sekiranya sudah tertulis takdir bersama A ataupun takdir leh berubah ke B atas usaha saya?
Jawapan
Jodoh adalah rahsia dan hak Allah untuk menentukannya, sebagaimana firman Allah dalam surah ar-Ra'd ayat 39:
Maksudnya: Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".
Bagi menjawab soalan yang diajukan, adalah diharuskan untuk kita berdoa memohon kepada Allah SWT agar diberi kemudahan dalam mendapatkan jodoh atau memohon secara spesifik agar orang tertentu dijadikan jodoh kita. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 60 yang memerintahkan kita berdoa dan Allah SWT menjanjikan untuk memberikan memperkenankan-Nya:
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.
Adapun kita tidak pernah tahu takdir kita bagaimana. Adalah menjadi tugas kita untuk berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan yang terbaik, namun penentu bukanlah usaha kita tetapi takdir Allah SWT. Apa yang berlaku itulah takdir Allah SWT. Selama-mana belum berlaku maka kita belum tahu takdir Allah SWT kepada kita dan kita dituntut untuk berdoa dan terus berusaha.
Sekian, terima kasih.