Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
Seorang isteri bekerja sebagai guru berumur 41 tahun , sihat , mempunyai cash rm100k selepas menjual rumah , ada 5 anak bawah 13 tahun, tiada hutang persendirian hanya hutang kereta , belum pernah umrah dan tidak mendapat panggilan haji ( telah daftar haji dan tahun peruntukan lambat lagi ). Adakah belum wajib baginya ( tidak berdosa ) jika beliau tidak mahu memohon rayuan untuk haji kerana untuk menggunakan duit untuk perkara dunia. Adakah wajib untuk memohon PJH / FURADA.
Terima kasih.
Jawapan
Ibadah haji mempunyai syarat wajibnya tersendiri, iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka, dan istito'ah. Syarat-syarat tersebut perlu ada pada seseorang Muslim untuk diwajibkan ke atasnya ibadah haji. Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangasaan Kali Ke-35 Musim Haji 1439H, 9 – 11 November 2018 telah memutuskan beberapa perkara, antaranya:
Keenam: Istito’ah ialah syarat utama untuk pelaksanaan haji. Konsep istito’ah hendaklah dilihat dari semua sudut selaras dengan mafhum nas al-zad wa al-rahilah (ada bekalan dan keperluan) dan amn al-tariq (aman dalam perjalanan) dan juga tasrih (kuota dan visa kebenaran haji).
Justeru, seseorang yang tidak memenuhi syarat-syarat ini tidak diwajibkan untuk menunaikan haji dan tidak berdosa jika tidak memohon rayuan untuk haji.
Sekian, terima kasih.