Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan
Perniagaan Pertukaran Wang Fizikal
Hukum forex online yg ada leveraj, unsur2 yg tidak patuh syariah terbukti tidak patuh syariah
Hukum forex secara fizikal juga dibenarkan syariah
Hukum menukar duit dengan mata wang lain untuk sesuatu tujuan (samada melancong, membeli barang etc) adalah juga dibenarkan
Cuma pertanyaan saya, bolehkah kita menggunakan perbezaan mata wang ini untuk memperoleh keuntungan samada menggunakan kaedah fizikal (pengurup wang) atau menggunakan akaun digital yang memang ada pemilikan (seperti RHB Islamic multi currency atau mungkin yg tidak patuh syariah seperti Wise atau Big Pay).
Saya juga pernah membaca bahawa pertukaran mata wang itu sendiri untuk mendapat keuntungan walaupun secara fizikal juga banyak pendapat.
Halatuju soalan saya adalah:
1. Apakah hukum nilai pertukaran mata wang yg menjana keuntungan semata-mata (tanpa ada tujuan lain) ? - Kecuali hukum utk melancong,beli barang yg diketahui dibenarkan syarak.
2. Apakah hukum pembelian menggunakan akaun digital seperti RHB Islamic Multi-currency atau konvesional lain seperti Wise atau Bigpay)
3. Apakah hukum jika menjana keuntungan melalui nilai pertukaran wang (tanpa ada tujuan lain) dengan menggunakan akaun digital yang patuh syariah?
Sekian terima kasih
Wasalam
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Soalan 1: Secara asasnya, hukum asal bagi jual beli mata wang (ṣarf) adalah diharuskan jika dilakukan dengan memenuhi semua rukun dan syarat yang ditetapkan mengikut syarak. Membeli mata wang asing dengan tujuan disimpan dan menjualnya ketika harga tinggi tidak dilarang selama proses jual beli mata wang tersebut dilakukan dengan memenuhi semua rukun dan syarat yang ditetapkan seperti penjualan dilakukan secara lani atau on the spot, dan mata wang itu dijual dalam keadaan mata wang tersebut di dalam pemilikan atau qabd yang sempurna oleh penjual.
Soalan 2: hukum melakukan pembelian barangan atau perkhidmatan dengan menggunakan akaun digital seperti RHB Islamic Multi-Currency Account, atau platform konvensional lain seperti Wise dan BigPay adalah harus, dengan syarat:
Akaun atau platform tersebut tidak mengandungi unsur riba,
Transaksi jelas bagi mengelakkan gharar,
Mata wang yang digunakan diiktiraf dan sah diterima secara uruf seperti e-wallet yang disandarkan kepada nilai sebenar.
Sekiranya akaun tersebut patuh syariah seperti RHB Islamic Multi-Currency Account, maka penggunaannya diharuskan kerana ia berada di bawah kawalan dan garis panduan Shariah Committee perbankan Islam.
Namun, bagi akaun konvensional seperti Wise atau BigPay, pengguna perlu berhati-hati. Jika sistemnya melibatkan:
penahanan baki dalam mata wang asing dan dijanakan faedah (interest),
atau berlaku pertukaran mata wang secara bertangguh,
maka unsur riba nasiah dan gharar boleh wujud, dan ini menjadikan penggunaannya tidak harus dan perlu dielakkan.
Soalan 3: Diharuskan sekiranya produk yang ditawarkan itu mendapat pengesahan serta kelulusan daripada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.
Sekian, terima kasih.