Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Tuan mufti/ust@ustazah yang dihormati,
Saya ada beberapa soalan yang membelenggu saya . Kerana perkara ini membuat saya tak berani untuk tunaikan solat kerana khuatiri najis Masih di badan Dan pakaian
Soalannnya begini
1.adakah jika saya mandi Dan badan saya basah keseluruhannya kemudian saya buang air kecil. Adakah Sy perlu bilas seluruh tubuh saya atau bagaimana?kerana saya selalunya akan bilas seluruh tubuh ini jugak kerana Sy ada penyakit kencing kerap Dan tidak lawas
2. Jika saya membasuh bahan mentah seperti ikan,ayam yang ada darah di dalam singki ,kemudian selalunya sukar untuk saya elakkan air dari terpercik ke tempat lain. Dan saya akan bilas bahagian yang saya lihat terpercik itu tapi dikawasan yang terpercik itu ada air yang bertakung sedikit.adakah betul cara saya cuma perlu curah pada kwasan itu walaupun ada air bertakung Dan adakah dikira suci kawasan itu?
3.Saya selalu cuci ikan,ayam dan letak di dalam tapis tapi selalunya akan ada darah yang keluar Dan dapat dilihat di bawah tapis selepas apa yang saya lakukan. Dan jugak berlaku selepas Sy simpan bahan mentah tersebut masih ada sisa darah di dalam plastik tempat saya simpan ikan itu. Adakah dimaafkan kerana sukar untuk ditangani Dan ambil masa yang lama kerana saya bekerja dan kadang jadi isu di tempat kerja.
**Saya kerja kedai makan, Saya ada belajar tentang najis Dan cara menyucikan najis tetapi rakan ditempat kerja tak mudah untuk Saya fahamkan bab menyucikan najis kerana maaf kata mereka ibarat tak peduli jadi terkadang saya jadi was2 di tempat kerja kerana perkara di atas.**
4.suatu hari saya demam panas .Dan dan selepas kencing saya akan balut kemaluan dengan tisu Dan tebal jugak. Persoalannya,jika saya mimpi basah Dan tisu itu ada sedikit air kencing adakah ianya berpindah ke seluar saya Dan saya tidur di atas lantai waktu itu Dan Sy dalam keadaan berpeluh adakah najis itu berpindah sehingga ke lantai?
**Selepas kejadian di soalan no.4 Sy berfikir untuk lalukan air di lantai tapi Sy risau jika kena di barang lain seperti toto yang ada di kawasan itu. Dan adik Sy ada mop lantai sebelum Sy lalukan air. Adakah lantai itu telah ada najis yang berpindah seperti soalan Sy di no.4?Jika ye bagaimanakah Sy nak menyelesaikan masalah najis hukmi yang tersebar?**
5.Dulu Dan sampai sekarang saya kurang ilmu bab najis .Dulu saya tak tau kena basuh kemaluan selepas kencing ,saya jugak tidak tahu tentang najis hukmi .sekarang Umur saya 29tahun Umur 20 puluh lebih baru saya ada belajar tentang taharah tentang najis Dan cara menyucikannya,itu pun di YouTube Dan google,jadi terkadang saya kurang faham tentangnya. Jika tidak keberatan boleh tak beri saya seorang guru yang boleh saya hubungi untuk saya belajar Dan bertanyakan soalan tentang masalah saya di dalam bab najis Dan cara menyucikan. Kerana saya selalu dihantui ingatan tentang kesilapan saya di dalam membersihkan najis Dan menyucikan.kerana Saya selalu merasa berat Dan ada masa jika tangan saya basah Saya akan sukar nak melakukan apapun kerana khuatiri najis hukmi berpindah. Tolong saya mufti,ust/ustzh. Saya mohon jasa baik mufti,ust/ustzh
Jawapan
Merujuk kepada permasalahan yang diajukan,
1. Mandi dan kemudian buang air kecil, jika saudara mandi dan seluruh badan telah basah, kemudian buang air kecil selepas itu, maka tidak perlu dibilas seluruh tubuh semula. Cukup sekadar basuh kemaluan dan bahagian yang terkena air kencing sahaja, kemudian ambil wuduk jika hendak solat.
2. Air percikan semasa basuh ayam atau ikan di singki, dalam keadaan ini, jika air percikan tiada kesan darah atau warna berubah, ia dihukum suci. Namun, jika percikan itu ada darah yang jelas kelihatan, maka saudara perlu bilas atau basuh tempat yang terkena darah tersebut dengan air mutlak yang mengalir. Air yang bertakung tidak menyucikan najis. Percikan halus yang tidak dapat dilihat kesannya adalah dimaafkan.
3. Darah yang keluar dari ikan atau ayam selepas disembelih secara halal adalah najis, tetapi ia dimaafkan jika sedikit atau sukar dielak (seperti dalam kerja dapur). Manakala kawasan bawah tapis yang kena darah, cukup disiram air mutlak sekali lalu, tidak perlu gosok atau ulang banyak kali. Jika dalam plastik ada sisa darah, buang plastik dan cuci tangan atau tapak yang terkena darah sahaja.
4. Mimpi basah dan tisu basah air kencing, jika tisu itu ada sedikit air kencing kemudian tidak dapat dipastikan bahawa air kencing itu menembusi seluar atau tidak, maka seluar dan lantai dianggap suci, kecuali saudara benar-benar nampak kesan air kencing. Peluh tidak menyebabkan najis berpindah melainkan jika peluh itu basah dan mengalir membawa najis yang nyata dengan kehadiran tiga sifat kewujudan najis iaitu bau, warna dan rasa.
5. Jangan biarkan rasa bersalah terhadap masa lalu terus membelenggu diri. Kesilapan yang lalu berlaku disebabkan oleh kejahilan, dan dalam Islam, seseorang itu tidak dihukum atas perkara yang dilakukan dalam kejahilan. Fokuskan tenaga anda untuk memperbaiki diri pada masa kini dan masa hadapan.
Berkaitan mencari guru bagi mendapatkan pencerahan, anda boleh hubungi mana-mana guru atau ustaz pemegang di bawah Jabatan Agama Islam Negeri atau pergi ke masjid-masjid atau surau-surau berdekatan yang menyediakan slot kuliah berkaitan taharah atau bab bersuci ini.
Sekian, terima kasih.