Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
adakah amalan berselawat mengikut buku dalilul
khairat itu amalan sunnah nabi? Saya melihat rakan rakan saya hadir ke majlis2 selawat ini dan bersanad dengan ustazah. Mereka amalkan selawat ini mengikut susunan harian. Jadi mereka akan membaca selawat ini stp kali waktu terluang. Adakah cara ini selari dengan anjuran islam sebenar? Manakah keutamaan yg lebih antara berselawat secara begini atau membaca dan memahami alquran? Saya faham mmg kita kena berselawat utk Nabi kita ttp adakah dengan fokus kpd amalan berselawat ini saja sbgai amalan harian dikira sbgai jalan yg mengikut ajaran islam dan nabi?
mohon pencerahan.
Jawapan
Mengamalkan sunnah Nabi SAW bukan sekadar hanya amalkan apa yang Baginda SAW buat atau baca sahaja. Untuk mengamalkan sunnah Nabi SAW perlu faham terlebih dahulu maksud sunnah Nabi SAW. Sunnah Nabi SAW adalah sesuatu perkara yang disandarkan kepada Baginda SAW sama ada ucapan, perbuatan, akhlak, sifat fizikal dan sebagainya. Oleh kerana sunnah Nabi SAW adalah perkara yang berkait dengan Nabi SAW, maka hukum mengamalkan sunnah Nabi SAW itu ada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan juga haram. Mengamalkan sunnah Nabi SAW menjadi wajib apabila Baginda SAW memerintahkan untuk melakukan sesuatu perkara sehingga menjadi wajib. Begitu juga ada sunnah Baginda SAW yang haram untuk diamalkan iaitu bernikah lebih daripada empat orang isteri.
Berkenaan dengan zikir atau wirid Dala'il al-Khairat, ia adalah himpunan zikir, ayat al-Quran dan doa yang telah disusun oleh para ulama untuk memudahkan orang lain mengamalkan zikir dengan konsisten dan teratur. Dala'il al-Khairat dan wirid-wirid lain adalah hasil ijtihad ulama berdasarkan kepada al-Quran dan juga al-Sunnah sama ada secara umum mahupun khusus. Oleh itu, mengamalkan Dala'il al-Khairat dan wirid-wirid lain yang dibenarkan telah dianggap sebagai mengikuti ajaran Islam.
Sekian, terima kasih.