Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya.
Apakah wajib seseorang makmum mendapatkan tomakninah bersama imam? Saya seseorang baca lambat baca terutamanya alfatihah jadi saya terus cepat pergi agar sampai ke posisi imam.. Kadang kadang, saya baru masuk sujud kedua, namun tak sempat tomakninah bersama imam kerana imam mula angkat.
Apakah perlu tambah 1 rakaat jika saya baru masuk sujud, kejar ke posisi imam tapi tak sempat tomakninah bersama?
Terima kasih.
Jawapan
Semoga tuan sentiasa mendapat rahmat Allah SWT.
Tomakninah dalam solat adalah wajib mengikut mazhab Syafi'i sehinggakan sebahagian ulama meletakkannya sebagai salah satu rukun solat. Diwajibkan tomakninah pada setiap perpindahan posisi dalam solat seperti daripada beridiri ke rukuk, daripada rukuk ke i'tidal, daripada i'tidal ke sujud dan seterusnya. Kadar yang memadai bagi tomakninah ialah apabila anggota badan berada tetap pada posisi tersebut tanpa bergerak ke atas atau ke bawah walaupun sekejap.
Makmum terbahagi kepada dua; muwafiq dan masbuq. Makmum muwafiq ialah makmum yang sempat bersama imam pada tempoh yang memadai untuk bacaan al-Fatihah dengan bacaan yang sederhana, tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Adapun jika imam membaca al-Fatihah dengan kadar yang laju, atau makmum merupakan seorang yang lambat bacaannya, maka dalam keadaan ini makmum dikira sebagai masbuq. Oleh itu, apabila imam rukuk dalam situasi ini, maka makmum boleh mengikuti imam untuk rukuk walaupun tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah.
Seterusnya, tidak disyaratkan tomakninah bersama imam dalam solat berjemaah. Makmum yang sedang rukuk dengan tomakninah tidak disyaratkan untuk menyertai imam yang sedang sujud selagi mana makmum tidak ketinggalan di belakang dua rukun fi'li solat secara berturut. Contohnya, imam sudah rukuk dan i'tidal, kemudian ingin turun sujud, maka makmum yang masih berdiri perlu segera rukuk sebelum imam turun sujud supaya jarak antara imam dengan makmum tidak mencapai dua rukun fi'li.
Justeru, jika tuan mengikuti imam daripada awal solat jemaah, maka tuan tidak perlu menambah satu rakaat sekiranya tidak sempat tomakninah bersama imam.
Sekian, terima kasih.