BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan/puan, saya ingin bertanya tentang kawasan yg sebetulnya bagi wajah ketika wudhuk. Adakah anak telinga (tragus) itu sendiri termasuk dalam wajah atau permulaan bahagian wajah yg perlu kena air hanya di hadapan anak telinga? Saya keliru kerana ada yang mengatakan anak telinga itu termasuk dalam wajah dan ada yang kata tidak termasuk wajah. Mohon pencerahan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, bahagian anak telinga yang disebutkan itu sudah termasuk dalam kawasan telinga, bukan muka. Maka anak telinga tidak wajib dibasuh waktu membasuh muka, tetapi disunatkan semasa menyapu kepala atau telinga. Kawasan muka yang wajib kena air adalah dari tempat tumbuh rambut biasa di kepala (atas dahi) hingga ke bawah dagu, dan dari anak telinga kanan hingga anak telinga kiri.

Imam Nawawi dalam kitab Minhaj At-Tolibin ada menyatakan tentang bahagian muka yang wajib dibasuh ketika berwuduk dengan lebih jelas:

غسل وجهه وهو ‌ما ‌بين ‌منابت ‌رأسه ‌غالبا ‌ومنتهى ‌لحييه ‌وما ‌بين ‌أذنيه فمنه موضع الغمم وكذا التحذيف في الأصح لا النزعتان وهما بياضان يكتنفان الناصية

Maksudnya: Dia membasuh wajahnya, iaitu bahagian antara tempat tumbuh rambut kepalanya (kebiasaannya) hingga hujung kedua rahangnya, dan apa yang berada di antara kedua telinganya. Termasuk dalam bahagian itu ialah kawasan ‘al-ghummam’ (rambut halus di tepi dahi), begitu juga bahagian ‘al-tahzīf’ menurut pendapat yang lebih sahih, bukan ‘al-naz‘atan’ iaitu dua kawasan putih di kiri dan kanan bahagian hadapan rambut (dahi).

Tetapi Imam al-Syafii dalam kitan al-Umm menyatakan bahawa anak telinga sunat dibasuh ketika membasuh muka bagi meraikan pandangan yang mengatakan bahawa anak telinga merupakan sebahagian daripada muka..

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image