BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya tentang insurans konvensional (Allianz) yg saya carum sejak 10 tahun dahulu. 

1. Sekiranya saya meninggal dunia, adakah benar waris saya hanya dibenarkan mengambil wang pampasan yang bersamaan dengan jumlah yang saya carum sahaja?

2. Polisi saya ada pelaburan dalam dana patuh syariah (Dana Padu). Adakah waris saya boleh mengambil cash value dalam Dana Padu ini?

3. Bagaimana pula sekiranya saya ingin tukar kepada takaful, namun disebabkan faktor umur dan kesihatan, saya tidak diterima lagi. Bolehkah saya terus menggunakan polisi insurans ini?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan.

Soalan Pertama:

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi seperti berikut :

1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.

2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.

3. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.

4. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah Kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (3) di atas.   

Soalan kedua:

Sekiranya dana yang dinyatakan telah disahkan patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti maka hasil pelaburannya boleh diambil dan dimanfaatkan oleh pencarum atau warisnya, sekiranya tidak disahkan patuh syariah maka hanya modal sahaja yang boleh dimanfaatkan.

Soalan ketiga:

Caruman takaful bukanlah perkara dharuriyyat atau suatu keperluan yang mendesak yang dihukumkan wajib untuk mencarum. Ia adalah pilihan setiap individu yang mampu, berusahalah sebaik mungkin untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara yang telah jelas diharamkan oleh Allah SWT, semoga dengan menjauhkan diri daripada perkara yang diharamkan akan menambah keberkatan pada rezeki dan kesihatan.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 5

message user image