Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya ni ada penyakit peluh berlebihan jadi saya ada sapu ubat antiperspiran pada tapak tangan dan tapak kaki saya pada waktu malam. Keesokannya saya mandi dan cuci tapak tangan dan tapak kaki saya. Tetapi tapak tangan dan tapak kaki saya masih rasa kesat atau kasar. Saya tak pasti ubat ni halang air sampai ke kulit atau tidak halang. Soalan saya adakah sah wuduk saya dalam keadaan tapak tangan dan tapak kaki saya masih rasa kesat atau kasar walaupun saya sudah basuh.
Terima kasih
Jawapan
Antara syarat sah wudhu' adalah tiada sesuatu yang menghalang air mutlak daripada sampai ke kulit atau anggota wudhu'. Imam Ibnu Hajar al-Haitami menerangkan dalam kitabnya Tuhfah Al-Muhtaj berkenaan syarat sah wudhu' antaranya adalah mesti memastikan pada anggota wudhu' tersebut tiada sesuatu yang menghalang air:
Maksudnya: Dan syaratnya (wudhu') seperti mandi wajib iaitu menggunakan air mutlak … dan mestilah pada anggota wudhu' itu tidak terdapat sesuatu yang boleh mengubah dan menghalang air sampai ke kulit.
Merujuk soalan yang diajukan, sekiranya rasa kesat itu memang disebabkan ubat antiperspiran tersebut mempunyai bahan kalis air yang membentuk lapisan menghalang air, maka wudhu’ tidak sah kerana tidak menepati syarat sah wudhu’. Justeru lapisan tersebut hendaklah dihilangkan terlebih dahulu. Dicadangkan tuan untuk menyemak semula bahan di dalam ubat tersebut untuk mengelakkan situasi yang sama berulang kembali.
Sekian, terima kasih.