Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
1. saya selalu waswas bilangan sujud dan rakaat setiap kali solat, perkara ni sering berlaku ketika saya sedang nak bangun ke rakaat seterusnya dan juga ketika saya baca tahiyyat akhir atau tahiyyat awal, adakah boleh saya abaikan sahaja waswas ni atau ape perlu saya lakukan
2. Adakah nanah di dalam kuku disebabkan oleh cagu dimaafkan, adakah sah wuduk dan mandi wajib...... kalau nanah tu keluar perlu basuh ke atau boleh solat tanpa basuh sebab nanah tu ada sedikit sahaja
3. Adakah kotoran dari tubuh seperti tahi telinga, daki, kelemumur dan lain-lain dimaafkan, adakah sah mandi wajib
4. Adakah bunyi hembusan dan tarikan nafas batal solat
Terima kasih
Jawapan
Semoga tuan sentiasa mendapat rahmat Allah SWT. Jawapan bagi persoalan yang diajukan adalah seperti berikut:
1. Dalam situasi ini, tuan perlu mengabaikan rasa was-was tersebut dan meneruskan solat seperti biasa.
2. Mengikut pandangan muktamad mazhab Syafi'i, bahagian kuku termasuk dalam anggota tangan yang wajib dibasuh ketika wuduk. Oleh itu, kotoran pada bahagian kuku perlu dibersihkan dan dimaafkan sekiranya kotoran yang berbaki selepas dibasuh hanya sedikit sahaja. Namun begitu, terdapat pandangan lain yang dinilai sebagai pandangan yang kuat dalam mazhab Syafi'i bahawa bahagian kuku tidak termasuk dalam anggota yang wajib dibasuh ketika wuduk dan mandi wajib. Justeru, mengikut pandangan ini, wuduk dan solat yang dilakukan adalah sah walaupun terdapat kotoran pada bahagaian kuku. Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Bajuri di dalam Hasyiahnya seperti berikut:
Maksudnya: Ibn Qasim berkata: (Dan wajib menghilangkan apa yang berada di bawahnya) iaitu di bawah kuku. Kemudian Ibn Qasim berkata: (daripada kotoran) adalah penjelasan bagi apa yang berada di bawahnya. Dimaafkan kotoran yang sedikit bagi orang yang diuji dengannya. Dan pada sisi kami terdapat satu pendapat bahawa ia dimaafkan secara mutlak.
3. Kotoran-kotoran tersebut tidak dikira sebagai najis dari sudut syarak dan mandi wajib yang dilakukan adalah sah.
4. Mengikut pandangan muktamad mazhab Syafi'i, hembusan nafas yang terhasil bersamanya satu huruf yang memberi makna seperti qi (قِ) yang bermaksud selamatkan, atau dua huruf yang tidak membawa sebarang makna, maka batal solat yang dilakukan. Namun begitu, terdapat pandangan lain dalam mazhab Syafi'i yang mengatakan bahawa solat seseorang tidak terbatal walaupun terkeluar dua huruf ketika menghembus nafas.
Sekian, terima kasih.